Kerajaaan setuju beri RM300 kepada semua petugas barisan hadapan

Kerajaaan setuju beri RM300 kepada semua petugas barisan hadapan

Perkara itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak dan mendengar cadangan ramai Ahli Parlimen yang berbahas.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 sebelum ini kerajaan mengumumkan bantuan khas kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian bantuan sekali gus berjumlah RM300 kepada semua petugas barisan hadapan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak dan mendengar cadangan majoriti Ahli Parlimen yang berbahas.

“Masa pembentangan Belanjawan 2021, saya mengumumkan bantuan ini hanya diberikan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sepanjang perbahasan, saya mendengar cadangan dan pandangan daripada Ahli Parlimen yang berbahas.

“Sukacita saya umumkan kerajaan bersetuju memanjangkan bantuan ‘one-off- kepada semua petugas barisan hadapan lain,” katanya ketika menggulung ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu, Tengku Zafrul mengumumkan bantuan khas “one-off” kepada petugas barisan hadapan kesihatan sebanyak RM500 ringgit.

Peruntukan Jasa dikurangkan

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan bahawa peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) atau kini dijenamakan sebagai J-Kom akan dikurangkan.

“Dari segi pengurangan (Belanjawan 2021), saya ada buat satu usul untuk kurangkan peruntukan yang diberikan kepada Jasa.

“Dalam peringkat jawatankuasa kita akan umumkan,” katanya menjawab pertanyaan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) sama ada tambahan belanjawan yang diumumkan hari ini akan melibatkan pengurangan peruntukan lain.

Tengku Zafrul bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pengurangan peruntukan kepada jabatan itu yang sebelum ini berjumlah RM85.5 juta.

Bantuan mahasiswa RM100

Sementara itu, Tengku Zafrul juga berkata, kementeriannya bersetuju untuk menambah baik program e-Belia, antaranya dengan menaikkan jumlah kredit RM50 kepada RM100 secara “one-off” ke dalam akaun e-wallet mahasiswa.

Inisiatif tersebut juga akan diperluaskan kepada semua 1.1 juta pelajar melebihi umur 20 tahun di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Tabung Bencana Pertanian RM80 juta

Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bercadang menyediakan peruntukan RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian.

“Bantuan khas ini dapat memanfaatkan petani yang terdiri daripada pesawah, nelayan dan pengusaha akuakultur, pekebun dan penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran hasil tanaman kesan bencana alam,” katanya,

Beliau turut mengumumkan kenaikan elaun sara hidup nelayan daripada RM250 kepada RM300 sebulan yang memanfaatkan lebih daripada 40,000 orang.

“Seperti yang dibangkitkan oleh YB Sik, kenaikan tersebut wajar dipanjangkan kepada nelayan darat. Dengan itu, kerajaan juga mencadangkan kenaikan kepada kadar elaun sara hidup nelayan darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan bantuan musim tengkujuh (BMT) dengan bayaran sebanyak RM300 sebulan dan akan dibayar pada bulan Dis 2020, Jan 2021 dan Dis 2021, kepada pekebun kecil yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

“BMT bakal memanfaatkan lebih daripada 300,000 pemilik kebun getah dan penoreh getah. Kerajaan komited untuk meneruskannya pada tahun 2021,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.