3 Ahli Parlimen jalani kuarantin dibenar hadir undian belanjawan, Anwar, pembangkang bantah, keluar Dewan Rakyat

3 Ahli Parlimen jalani kuarantin dibenar hadir undian belanjawan, Anwar, pembangkang bantah, keluar Dewan Rakyat

Mereka tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker Azhar Harun membenarkan tiga Ahli Parlimen yang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) hadir ke Dewan Rakyat.

Tangkap layar rakaman Parlimen memaparkan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, M Saravanan; dan Ahli Parlimen P Prabakaran hadir ke Dewan Rakyat dengan menyarung peralatan perlindungan diri (PPE). (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Majoriti Ahli Parlimen pembangkang termasuk Anwar Ibrahim bertindak keluar memulau undian belah bahagi untuk belanjawan peringkat jawatankuasa Kementerian Wilayah Persekutuan.

Mereka membantah tindakan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, membenarkan tiga Ahli Parlimen, termasuk dua menteri, yang diperintah menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO), hadir menyertai undian itu di Dewan Rakyat.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba (BN-Tenggara); Menteri Sumber Manusia, M Saravanan (BN-Tapah); dan P Prabakaran (PH-Batu), hadir ke Dewan Rakyat dengan menyarung peralatan perlindungan diri (PPE) untuk mencegah risiko jangkitan Covid-19.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendesak Azhar menjelaskan keperluan mereka berada di Dewan kerana risiko Covid-19.

“Kita minta Speaker beri penjelasan, apa yang berlaku?” desak Anwar.

Azhar berkata mereka dibenarkan hadir hari ini kerana Khamis lalu, terdapat Ahli Parlimen pembangkang yang “tidak mematuhi perintah kuarantin dan datang mengundi” di Dewan Rakyat.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku lagi. Saya akan ambil tindakan. Daripada orang tidak mematuhi perintah kuarantin, lebih baik saya kawal selia pengundian ini.

Dalam pada itu, seorang Ahli Parlimen pembangkang berteriak risau akan keselamatan mereka sekiranya tiga Ahli Parlimen itu dibenarkan mengundi hari ini.

“Jangan gadaikan keselamatan kami Speaker, kami ada anak bini. Ini soal Covid-19. Kami kena kuarantin selama 14 hari,” teriak Aziz Jamman (Warisan-Sepanggar).

“Itu sebab mereka pakai PPE,” jawab Azhar

“Tak payah undi, Parlimen sudah tidak ada undang-undang,” kata Mohamad Sabu (PH-Kota Raja).

Tanpa menghiraukan keadaan itu, Azhar mengarahkan undian belah bahagi diteruskan tanpa kehadiran Ahli Parlimen pembangkang.

Beberapa wakil pembangkang tidak keluar Dewan termasuk Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).

Peruntukan Kementerian Wilayah Persekutuan sebanyak RM956 juta dalam Belanjawan 2021 diluluskan, iaitu RM256 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM700 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.