
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, sejumlah 3,000 pekerja barisan depan daripada pelbagai sektor serta jabatan akan menikmati manfaat itu.
Katanya, insentif itu sebahagian daripada pelan pemulihan ekonomi negeri yang turut merangkumi pakej bantuan pelancongan yang keseluruhannya berjumlah RM2.6 juta.
Daripada jumlah itu, RM2 juta diuntukkan bagi program subsidi “Baucar Pelancongan Selangor” untuk 10,000 pemohon.

“Bagi menghormati barisan depan, kerajaan negeri menawarkan 3,000 baucar ini kepada mereka di Selangor yang memerangi Covid-19,” katanya selepas melancarkan kempen pelancongan negeri.
Baki 7,000 baucar itu boleh dibeli orang awam secara dalam talian berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’.
Menurutnya, baucar akan ditawarkan melalui e-dompet Touch n Go serta Lazada dari Januari sehingga Jun 2021.
Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata keseluruhannya, 43 pemain industri – seperti pengendali hotel dan taman tema – akan terbabit dalam program baucar berkenaan.
“Ini bagi membantu mereka pulih daripada kesan Covid-19 dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita.
Tambahan, sejumlah RM553,000 akan diberi sebagai insentif sekali beri kepada 553 pemain industri merangkumi 486 anggota persatuan pemandu pelancong Selangor (SGTA), 16 penyelaras inap desa yang disahkan Kementerian Pelancongan, serta 51 Selangor hos komuniti.
Hee berkata, kerajaan negeri menjangka menerima kira-kira lima juta pelancong pada 2021.