Pelajar asing boleh masuk Malaysia mulai 1 Jan

Pelajar asing boleh masuk Malaysia mulai 1 Jan

Kebenaran itu bagaimanapun dikecualikan untuk pelajar dari United Kingdom berdasarkan situasi semasa COVID-19 di negara itu.

Pelajar yang terbabit adalah pelajar baru dan lama yang sudah mendapat tawaran dari universiti swasta dan awam di negara ini. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa di kampus secara fizikal bagi sesi pembelajaran 2021 berkuatkuasa 1 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu bagaimanapun dikecualikan untuk pelajar dari United Kingdom (UK) berdasarkan situasi semasa COVID-19 di negara itu.

“Pelajar yang terbabit adalah pelajar baru dan lama yang sudah pun mendapat tawaran dari universiti swasta dan awam di negara ini.

“SOP juga tetap sama yang mana mereka perlu menjalani ujian saringan tiga hari sebelum datang ke negara ini dan ujian swab di pintu masuk negara semasa ketibaan serta menjalani kuarantin wajib 10 hari di pusat kuarantin dikhaskan,” katanya pada sidang media.

Ketika ditanya bilakah tarikh kemasukan pelajar tempatan, Ismail berkata, perkara itu akan diumumkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (PKT) tidak lama lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga membenarkan kemasukan pelajar asing di sekolah antarabangsa di negara ini bagi sesi pembelajaran 2021 bermula 1 Januari.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pelajar dan pengiring yang mempunyai kelulusan visa manakala SOP juga tetap sama seperti pelajar asing lain,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.