
Beliau mengingatkan BN menang tujuh daripada 12 PRK berkenaan tanpa kuasa dan sumber yang cukup.
“Rakyat sedang memerhatikan kita. Mereka sangat bijak membuat keputusan. Sumber dan aparatus ada peranannya tetapi tidak segalanya.
“Banyak lagi faktor yang menentukan kepercayaan mereka kepada kita atau sesiapa. Mungkin yang lepas ada kelemahan kita, namun selepas kita, mereka mula buat perbandingan,” katanya di Facebook.
Semalam, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, menggesa gabungan itu membawa pemikiran baharu dan mengikis sikap “lebih hebat” dari orang lain jika mahu menang besar pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau mengingatkan akar umbi dan pemimpin parti komponen bahawa senario politik PRU-15 tidak sama seperti sebelumnya, yang mana pada ketika itu BN parti pemerintah yang menguasai banyak pentadbiran dan sumber yang cukup, namun tewas di tangan Pakatan Harapan (PH).
Shabery menyenaraikan kawasan yang dimenangi BN ketika menentang PH selepas pilihan raya umum ke-14, antaranya Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, dan Parlimen Tanjung Piai pada 2019; Parlimen Kimanis, DUN Chini, dan DUN Slim pada 2020.
“Paling klasik di Tanjung Piai lawan PPBM. Menang lebih 15,000 majoriti. Begitu juga di Semenyih lawan PPBM yang memerintah,” katanya.
Beliau berkata, PH hanya kuat pada tahun pertama memerintah, yang disifatkannya sebagai tahun berbulan madu bagi kerajaan ketika itu.
“Selepas itu rakyat buat perbandingan. Bila kena sumbat lima gol berturut-turut mereka kucar-kacir. Rumah tangga PH runtuh.
“Sekarang pun rakyat masih memerhatikan kita. Bukan bagaimana kita gunakan sumber dan aparatus tapi bagaimana kita menjaga amanah untuk berikan yang terbaik untuk mereka. Apa-apa pun boleh berlaku,” jelasnya.