
Gergasi perladangan itu dalam responsnya terhadap Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata, dakwaan penggunaan buruh paksa, walaupun jika benar, bermakna pelanggaran terhadap pelaksanaan dasar dalamannya.
Semalam, CBP dilaporkan akan menyekat minyak sawit dan produk mengandungi minyak sawit keluaran SDP serta anak syarikatnya, berkuat kuasa hari ini, atas dakwaan penggunaan buruh paksa.
SDP dalam kenyataan berkata: “Ini akan menjadi kepentingan semua pihak, khasnya tenaga kerja asing dan kakitangan wanita kami, jika perkara ini ditangani segera.”
Katanya, kenyataan CBP tidak memberi maklumat mencukupi untuknya menangani dakwaan itu secara bermakna dan ia berharap boleh mendapat butiran lanjut supaya kebimbangan dibangkitkan CBP dapat ditangani.
“SDP komited memerangi buruh paksa dan sudah melaksanakan dasar berkesan untuk melindungi hak pekerja. Usaha ini termasuk melantik PricewaterhouseCoopers Consulting Associates pada 19 Okt untuk membantu kami dalam komitmen peningkatan berterusan kami.”
Terdahulu, Bernama melaporkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan drastik kerajaan AS menyekat kemasukan minyak sawit SDP, tanpa memberi syarikat itu peluang mempertahankan diri.
Menterinya, Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, walaupun CBP berhak mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara itu, beliau tidak bersetuju tindakan diambil tanpa membenarkan syarikat berkenaan membuktikan dakwaan itu mungkin tidak berasas.
Katanya, pentadbiran Donald Trump pernah menyekat minyak sawit yang dihantar ke pasaran AS tanpa merujuk Putrajaya mengenai kesahihan dakwaan buruh paksa.
“Insiden ini tidak mengejutkan kerajaan (Malaysia) kerana tindakan sama pernah diambil terhadap FGV Holdings Bhd (pada September) atas dakwaan sama, tetapi disangkal syarikat itu,” kata menteri itu dalam kenyataan hari ini.
Walaupun Khairuddin mengakui isu buruh paksa dan kanak-kanak pernah berlaku dalam sektor perladangan sawit negara, tetapi kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian pada 2018.
Katanya, hasil kajian itu dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur awal bulan lalu dan kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
Beliau berkata, Putrajaya komited mengambil tindakan tegas dan sewajarnya ke atas mana-mana syarikat terlibat dalam isu buruh paksa, jika tuduhan AS itu benar.
Menurut CBP, pengeluaran WRO terhadap produk SDP berdasarkan maklumat “munasabah menunjukkan kehadiran semua 11 petunjuk buruh paksa oleh Pertubuhan Buruh Sedunia” dalam proses pengeluaran SDP.