
Begitulah riang ceria Normaizan Saminan melangkah masuk tahun baharu selepas tahun 2020 beliau sekeluarga diwarnai pelbagai kepayahan, sehingga memaksanya bekerja sebagai tukang sapu, dan mengambil alih peranan ketua keluarga.
Penghuni rumah pangsa PPR di Ara Damansara itu terpaksa berbuat demikian kerana suaminya menghidapi diabetik kronik yang memaksanya berhenti bekerja, sekali gus menyebabkan keluarga ini hilang mata pencarian utama.
Namun, 2021 menyaksikan badai berlalu, kiambang bertaut untuk Normaizan.

Tidak lama selepas FMT menyiarkan kisah beliau menyara keluarganya dengan mengambil upah sebagai tukang sapu dan jualan snek ringan kepada jiran, bantuan orang awam dan kerajaan mengubah nasib keluarga ini.
“Ada juga yang memberi bantuan bahan cucian kaki (untuk luka diabetik suaminya). ADUN pun ada datang membawa bantuan makanan. Semalam Kasih Neelofa (NGO selebriti itu) juga memberi bantuan,” kata Normaizan lagi.
Selain itu, Zakat Selangor meluluskan bantuan zakat RM400 sebulan untuk Normaizan sekeluarga bagi menguruskan perbelanjaan rumah.
“Alhamdulillah, ustaz dari Jabatan Zakat Selangor ada datang membuat banci di rumah. Ustaz kata permohonan kami alhamdulillah lulus. Pembayaran zakat akan bermula pada Januari ini, secara bulanan sebanyak RM400,” jelas Normaizan.

Normaizan amat menghargai semua pihak yang tampil membantu, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga menyumbang barang keperluan rumah.
“Saya hendak ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi bantuan, hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa mereka,” kata Normaizan terharu.
“Terima kasih kepada pihak FMT kerana menceritakan kisah saya sekeluarga dan kerana cerita itu banyak bantuan kami terima dari orang ramai, terima kasih sangat,” kata beliau.
Pada hari pertama tahun baharu, Normaizan mendoakan suaminya diberikan kekuatan supaya sembuh dan mampu berniaga seperti dahulu untuk kembali menjadi tonggak keluarga semula.
“Harapan saya tiada lain kecuali mahukan suami saya sihat dan pulih kembali serta boleh bekerja seperti dahulu,” kata beliau menitis air mata, melihat keadaan suaminya, Mohd Suhaimi Marzuki yang masih memerlukan penjagaan rapi.
Suhaimi juga tidak dapat menahan sebak, dalam menzahirkan harapan untuk kembali sihat secepat mungkin agar mampu kembali menyara keluarganya.
Doa pasangan itu memerlukan masa untuk terkabul.
Pengarah Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr Halimah Ali, berkata Suhaimi mempunyai sistem imun lemah, justeru memerlukan penjagaan rapi untuk memastikan luka-lukanya sembuh.