Lebih 21,000 mangsa COVID-19 sedang dirawat, 11 meninggal dunia

Lebih 21,000 mangsa COVID-19 sedang dirawat, 11 meninggal dunia

Sebanyak 2,726 pesakit sembuh dan 1,704 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan ketika ini 21,365 mangsa COVID-19 sedang dirawat di seluruh negara, dengan 124 dimasukkan ke ICU dan 51 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, juga melaporkan 11 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Dalam tempoh yang sama, 2,726 pesakit sembuh dan 1,704 jangkitan baharu yang terdiri daripada lima kes import dan baki 1,699 penularan tempatan.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 adalah 119,077 kes, dengan 97,218 sembuh.

Jumlah keseluruhan nyawa yang diragut virus korona itu ialah 494 orang.

Sepuluh daripada 11 kematian hari ini membabitkan warganegara, manakala seorang lagi ialah warga asing berusia 58 tahun yang hanya didapati positif selepas mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

Sepuluh warganegara itu berusia 53 hingga 77 tahun, dengan kebanyakannya menghidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi. Dua daripadanya tidak mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Selangor terus mencatatkan kes baru tertinggi, iaitu 673 kes atau 39.5%.

“Daripada jumlah itu, 509 kes (75.6%) daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 di lapangan,” katanya dalam kenyataan.

Ia diikuti Sabah (316), Johor (179), Kuala Lumpur (112), Pulau Pinang (103), Perak (75), Negeri Sembilan (72), Kedah (53), Kelantan (47), Pahang (21), Putrajaya (17), Labuan (16), Sarawak (10), Melaka (6) dan Terengganu (4).

Tiada kes baru dilaporkan di Perlis.

Kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara menyumbang 74 kes hari ini, iaitu kluster Penjara Jalan Harapan (56), Penjara Seberang Perai (7), Tembok Choh (5), Tembok Gajah (3), Tembok (2) dan Kolam Air (1).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.