Lelaki maut direnjat elektrik ketika tinjau keadaan banjir di Pahang

Lelaki maut direnjat elektrik ketika tinjau keadaan banjir di Pahang

Dalam kejadian 6.30 petang itu, Isyraf Muhammad dilaporkan memegang tiang besi di garaj kereta halaman rumahnya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat dan setakat ini ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
KUANTAN:
Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika meninjau keadaan banjir di Kampung Paya Kechik, Temerloh, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Mohd Yusri Othman berkata, ketika kejadian 6.30 petang itu, Isyraf Muhammad, 41, dilaporkan memegang tiang besi di garaj kereta halaman rumahnya.

“Ibu mangsa mendakwa melihat anaknya seperti terkena renjatan elektrik menyebabkan dia terus berlari ke arah anak lelakinya untuk membantu, namun dirinya tercampak ke belakang.

“Abang mangsa kemudiannya datang membantu dan membawa dua beranak itu ke Klinik Tanjung Lalang, namun Isyraf disahkan meninggal dunia,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Yusri berkata, ibu mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan keadaannya dilaporkan tidak membimbangkan.

Siasatan lanjut dilakukan dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mencari punca arus elektrik itu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat dan setakat ini ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.