79 pelancong terkandas di taman negara diselamatkan

79 pelancong terkandas di taman negara diselamatkan

Mereka adalah pelancong yang mendaftar masuk di empat resort di Taman Negara semasa cuti hujung tahun.

Pelancong yang terkandas di Taman Negara, Jerantut, dibawa keluar oleh polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Sebanyak 79 pelancong yang terkandas di Taman Negara, Jerantut, berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke ibu negara lewat petang semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Sabri Abdullah, berkata mereka adalah pelancong yang mendaftar masuk di empat resort di Taman Negara semasa cuti hujung tahun.

“Kebanyakan mereka sepatutnya mendaftar keluar pada 31 Dis lepas, namun paras sungai yang naik mendadak dan melimpah di lima kawasan dalam Taman Negara menyebabkan keadaan tidak selamat untuk mereka menaiki bot untuk keluar.

“Mereka berada dalam jagaan pengusaha resort masing-masing sepanjang terkandas, namun keadaan semakin buruk apabila banjir berlarutan menyebabkan bekalan bahan mentah semakin berkurangan dan bekalan air bersih mula terputus,” katanya ketika dihubungi.

Sabri berkata, daripada jumlah pelancong itu, 15 adalah pelancong asing yang menetap di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Ipoh, Perak.

Katanya, inisiatif membawa keluar pelancong itu dibuat selepas penduduk mendapat berita hujan di bahagian hulu berterusan selama enam jam, sekali gus berisiko menyebabkan banjir lebih buruk dan membahayakan nyawa pelancong.

Keadaan itu menyebabkan JKKK Kuala Tahan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jerantut meminta bantuan membawa keluar pelancong berkenaan.

Selain penduduk kampung, turut terlibat dalam operasi itu ialah polis, bomba, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Ketua Polis Jerantut, Mazlan Hassan, ketika dihubungi berkata operasi pemindahan berjalan lancar dan ditamatkan sekitar 7 malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.