Covid-19: KKM desak ‘total lockdown’, ahli perniagaan mahu PKP mesra perniagaan

Covid-19: KKM desak ‘total lockdown’, ahli perniagaan mahu PKP mesra perniagaan

Majlis Keselamatan Negara cari formula imbangi kepentingan perniagaan dan kesihatan awam.

Kerajaan mendengar keluhan komuniti perniagaan dan mahu mencapai keseimbangan antara kepentingan ahli perniagaan dan kesihatan awam.
PETALING JAYA:
Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini rancak mencari formula mengimbangkan desakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya dengan rayuan ahli perniagaan yang bimbang ekonomi negara akan lebih teruk jika ia dilaksanakan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassing dijangka mengumumkan keputusan kerajaan 6 petang ini, dengan spekulasi bertebaran penguatkuasaan semula SOP lebih ketat bagi mengekang kes Covid-19 yang semakin serius.

Sumber rapat dengan MKN berkata, kerajaan mendengar keluhan komuniti perniagaan dan mahu mencapai keseimbangan antara kepentingan ahli perniagaan dan kesihatan awam.

“Ahli perniagaan mahukan kerajaan melaksanakan sekatan yang tegas tetapi ia juga harus mesra perniagaan. Perniagaan mereka amat terjejas ketika ini.

“Justeru, mereka mahu mengelakkan penutupan perniagaan dan menanggung kerugian lebih besar,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, KKM menyarankan kepada kerajaan untuk melaksanakan sekatan total dan menyeluruh kerana ia satu-satunya cara untuk membendung wabak itu yang semakin menular.

Katanya, mengikut perancangan awal, kerajaan mahu mengisytiharkan darurat dan sekatan sepenuh “namun kini ada rayuan kuat daripada komuniti perniagaan supaya tidak berbuat demikian”.

Beliau berkata, MKN kini di peringkat akhir membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu

Sumber itu berkata, MKN lebih cenderung melaksanakan SOP lebih ketat yang merangkumi larangan rentas negeri dan mengarahkan kanak-kanak serta warga emas untuk tidak keluar rumah sewenang-wenangnya.

“MKN masih berbincang cara untuk melaksanakan SOP mesra perniagaan dan akan mengambil kira semua saranan sebelum membuat keputusan muktamad,” kata sumber itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.