
Kebanyakan syarikat insurans tidak menyediakan perlindungan untuk pandemik, kata Dr Kuljit Singh, presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia.
Bagaimanapun, katanya syarikat berkenaan patut turut membantu kerana “semua orang melakukan apa yang terdaya, hospital swasta… syarikat insurans juga patut bertindak. Mereka patut melindungi rawatan pelanggan ketika waktu luar biasa seperti ini,” katanya kepada FMT.
Kerajaan berkata, sistem kesihatan swasta mungkin menyertai usaha memerangi Covid-19 dalam pada lonjakan jangkitan menyebabkan kemudahan kerajaan hampir lumpuh.
Undang-undang baru darurat membolehkan kerajaan mengarahkan hospital swasta mengambil kes Covid-19 atau berdepan denda sehingga RM5 juta, malah juga hukuman penjara jika enggan.
Kuljit berkata, hospital swasta tiada masalah mengambil pesakit Covid-19 untuk mengurangkan bebanan hospital kerajaan.
Bagaimanapun, mereka tidak mampu merawat pesakit Covid-19 secara percuma. “Jika kami menyerap kosnya, pasti kami akan ditutup dan kami tidak mampu berdepan keadaan itu,” katanya.
Beliau menolak andaian biasa bahawa hospital swasta mengaut keuntungan, sebaliknya menegaskan kos operasi dan penyenggaraan kemudahan hospital swasta bererti pesakit terpaksa dikenakan bayaran untuk hampir setiap benda termasuk peralatan perlindungan.
“Disebabkan itu kami perlu meyakinkan syarikat insurans untuk membantu,” katanya.
Walaupun syarikat insurans mungkin mengalami kerugian jika melindungi ramai pelanggan dalam keadaan kes Covid-19 melonjak, “kita semua berdepan masalah sama.”
Malam tadi, Kuljit berkata hospital swasta sedang berbincang dengan kementerian kesihatan dan kementerian kewangan mengenai kadar caj yang patut dikenakan untuk merawat pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari hospital swasta dari kemudahan kerajaan.