Pemuda PKR khuatir RMK12 ‘terkubur’ susulan darurat

Pemuda PKR khuatir RMK12 ‘terkubur’ susulan darurat

Pelaksanaan RMK12 yang sepatutnya dibentangkan bulan ini mungkin tidak dibuat berikutan langkah kerajaan mengumumkan darurat.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata kecelaruan dan kelemahan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional bukan sekadar memberi impak negatif kepada ekonomi buat sementara waktu, tetapi mempunyai implikasi buruk bagi jangka sederhana dan panjang.
PETALING JAYA:
Pemuda PKR bimbang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bakal terkubur berikutan pengisytiharan darurat oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 bermula 12 Jan lalu.

Ketuanya Akmal Nasir berkata, ini kerana pelaksanaan RMK12 yang sepatutnya dibentangkan bulan ini mungkin tidak dibuat berikutan langkah kerajaan mengumumkan darurat.

“Melihat kepada kenyataan perdana menteri (Muhyiddin Yassin) terkait hal darurat bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang, ini akan menimbulkan persoalan berkenaan pembentangan RMK12 serta sejauh mana hala tuju perancangan ekonomi mampan dapat direncanakan oleh kerajaan.

“Tempoh darurat ini sudah pastinya pembentangan RMK12 akan sekali lagi ditangguh dan ini akan memberi suatu cerminan kepada rakyat serta pelabur luar bahawa tiada suatu perancangan sistematik dan tuntas dalam mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, kecelaruan dan kelemahan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sekadar memberi impak negatif kepada ekonomi buat sementara waktu, tetapi mempunyai implikasi buruk bagi jangka sederhana dan panjang.

“Pembentangan ini amat penting dan menjadi tumpuan utama yang perlu diberi penekanan oleh negara.

“Pembangunan ekonomi tidak lagi boleh dilaksanakan sebagaimana biasa jika ekonomi Malaysia ingin dilihat berdaya saing dan inklusif dalam tempoh lima tahun lagi yang sudah pastinya sangat kritikal. Suatu rencana ekonomi yang utuh perlu dibentangkan segera di Parlimen melalui RMK12,” katanya.

RMK12 yang sepatutnya dibentangkan 6 Ogos 2020 kemudian ditunda kepada Jan 2021 dengan alasan bagi membolehkan ia dikaji semula susulan kesan ekonomi dunia akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun, ia dipercayai akan ditunda sekali lagi ekoran langkah kerajaan mengumumkan darurat hingga 1 Ogos ini.

“Pelaksanaannya akan memberi suatu mala petaka baru terhadap ekonomi negara. Tatkala pelabur sudah mula melihat negara jiran sebagai pilihan untuk mengembangkan perniagaan mereka, kini Malaysia sekali lagi berhadapan dengan kemungkinan terkuburnya Rancangan Malaysia (RMK12) yang perlu dibentang pada Jan ini,” kata Akmal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.