
Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menentang keras sebarang cubaan melucutkan keistimewaan institusi unik umat Islam itu dengan menyemak atau menghilangkan terus ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ke atas wang pendeposit Tabung Haji (TH).
“Sesungguhnya, TH adalah institusi yang cukup istimewa dan terlalu bernilai buat umat Islam yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi ummah sejak ditubuhkan pada 1963,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf dalam kenyataan itu turut menghuraikan apakah maksud jaminan kerajaan.
“Bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang yang didepositkan oleh pendeposit ke dalam TH adalah dijamin sepenuhnya oleh kerajaan
“Ini bermakna jika berlaku keadaan TH tidak mampu membayar balik tanggungan wang pendeposit akibat TH menjadi muflis atau kerugian, maka kerajaan akan mengambil alih tanggungan tersebut dan membayar balik setiap sen wang pendeposit,” katanya.
Beliau mempersoalkan mengapa ia hendak dipinda sedangkan keistimewaan TH sebelum ini dijamin kerajaan berbanding bank kormesial lain.
“Ini kerana rakyat sudah tentu lebih memilih untuk menyimpan dalam TH sehingga dana TH mencecah RM75 bilion. Sedangkan jaminan simpanan di bank komersial hanya setakat RM250,000 oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM),” katanya.
Beliau turut mendakwa, cubaan meminda Seksyen 24 Akta 535 itu pernah diusahakan oleh Bank Negara bawah gabenor, Zeti Akhtar Aziz dengan alasan untuk menyamaratakan peluang persaingan (level playing field) dalam sistem kewangan negara, tetapi tidak dipersetujui perdana menteri Najib Razak ketika itu.
“Usaha untuk meminda Akta 535 tetap cuba diteruskan di zaman Pakatan Harapan (PH) bawah gabenor baharu sehinggalah hari ini,” katanya.
Beliau mendesak menteri agama tampil memberikan jaminan kepada lebih 9.4 juta pendeposit bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini akan terus mempertahankan setiap wang pendeposit yang menjadi keistimewaan TH.