Beban kewangan pelajar undang-undang ringan dengan bantuan pembaca FMT

Beban kewangan pelajar undang-undang ringan dengan bantuan pembaca FMT

Sumbangan pembaca FMT membantu meringankan beban Aliya, yang sebelum ini bergelut dengan kerja sambilan, pelajaran, dan tanggungjawab di rumah.

Aliya (bukan nama sebenar) berkata, beliau mendapat begitu banyak sumbangan daripada pembaca FMT dan beliau tidak lagi memerlukannya. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar undang-undang UiTM yang kisah kesulitannya dilaporkan FMT sebelum ini, mengucapkan terima kasih kepada pembaca murah hati membantu meringankan beban kewangan beliau dan keluarganya.

Aliya (bukan nama sebenar) menerima banyak sumbangan dan tidak lagi memerlukannya.

Sebelum ini, Aliya, yang kehilangan bapanya dua bulan sebelum memulakan kursus ijazah, terpaksa bekerja sambilan hampir setiap hari untuk membantu ibunya, yang juga sakit, menyara keluarga.

Bapanya merupakan pencari nafkah keluarga, tetapi selepas pemergiannya, beban ini ditanggung Aliya, yang perlu menjaga adik-beradiknya, dengan seorang daripadanya kelainan upaya.

Bergelut dengan kerja, pelajaran, dan tanggungjawab di rumah sehingga 18 jam sehari menyebabkan grednya mula merosot dan hanya menunggu masa sebelum beliau kehilangan biasiswanya. Ia disusuli pula insomnia.

Katanya, selepas kisah kesulitannya disiarkan FMT, beliau menerima banyak panggilan dan mesej daripada individu berhasrat membantunya.

“Saya mendapat sebuah komputer riba baru untuk menggantikan komputer lama yang tidak lagi berfungsi tahun lalu. Saya turut menerima wang secukupnya bagi membayar hutang saya, bil kami, dan perbelanjaan saya buat semester akan datang.”

Aliya berkata, seorang individu turut berjanji akan memberinya RM600 sebulan supaya beliau tidak lagi perlu bekerja sambilan untuk menambah pendapatan keluarga.

“Saya sudah letak jawatan daripada kerja sambilan. Sekarang saya boleh fokus pada pelajaran.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatinan mereka. Mereka yang membantu saya tidak kenal saya secara peribadi atau peduli mengenai kaum atau agama saya. Saya sangat tersentuh dengan kebaikan hati mereka.”

Katanya, sesetengah penderma turut bertanyakan keadaannya sejak itu.

“Saya bersyukur dikelilingi begitu ramai orang baik. Ini sudah cukup buat saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.