PKP: Penjaja minta kerajaan benar operasi pasar malam

PKP: Penjaja minta kerajaan benar operasi pasar malam

Golongan penjaja yang hampir keseluruhannya terdiri daripada golongan B40 ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan tiada simpanan.

Golongan penjaja berdepan masalah pendapatan susulan pelaksanaan PKP di beberapa negeri bagi mencegah penularan wabak Covid-19. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) meminta kerajaan mempertimbang untuk membenarkan operasi pasar malam di enam negeri yang terlibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
Mohamed Zamri Mohammed.

Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed berkata, pihaknya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membolehkan pendapatan penjaja terus dijana dalam tempoh sukar ini.

“Golongan penjaja hampir keseluruhan terdiri daripada golongan B40, sebahagiannya ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan tiada simpanan.

“Kalau seminggu dua mungkin masih boleh bertahan, tapi apa akan jadi jika PKP dilanjutkan,” katanya ketika menjadi tetamu program ruang bicara bertajuk “PKP 2.0 Dan Darurat: Nasib Kumpulan Rentan” terbitan Bernama TV malam tadi.

Zamri berkata, beliau yakin golongan penjaja mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk menjalankan perniagaan dalam normal baharu susulan pengalaman PKP pelbagai fasa sebelum ini.

Pengarah Eksekutif MTEN Dr Noor Azlan Ghazali.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Dr Noor Azlan Ghazali berkata, operasi pasar malam bagi tempoh PKP memerlukan model yang jelas agar memastikan matlamat mengekang Covid-19 tercapai tanpa mengabaikan kebajikan mana-mana pihak.

“Umpamanya, kalau dulu kita boleh masuk ke pasar malam dari mana-mana arah, mungkin boleh wujudkan dan hadkan laluan pintu masuk dan keluar dengan kawalan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Selain itu, Noor Azlan berkata, tahap kesedaran dan disiplin masyarakat untuk membudayakan kawalan kendiri juga memainkan peranan sekiranya golongan penjaja dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.