Program vaksinasi Covid-19 tetap secara sukarela walaupun darurat

Program vaksinasi Covid-19 tetap secara sukarela walaupun darurat

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata tiada perubahan kepada dasar kerajaan yang diumumkan sebelum ini susulan pengisytiharan darurat Selasa lalu.

Isu sama ada kerajaan akan mewajibkan orang ramai mengambil vaksin Covid-19 timbul susulan kebimbangan mengenai beberapa kes kematian di luar negara membabitkan mereka yang diberikan suntikan vaksin. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Orang ramai tidak akan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19, kata kerajaan, susulan kebimbangan perintah itu mungkin dikeluarkan bawah undang-undang darurat ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, program imunisasi Covid-19 akan dilaksanakan dengan penyertaan sukarela masyarakat, sebagaimana diumumkan sebelum ini.

“Dasar kami kekal, iaitu untuk sekarang, ia adalah secara sukarela,” kata beliau kepada FMT.

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah memerangi wabak Covid-19 yang semakin memburuk.

Darurat itu boleh ditamatkan lebih awal sekiranya pandemik berkenaan dapat dibanteras secara berkesan.

Peguam A Srimurugan berkata, Ordinan Darurat memberikan Yang di-Pertuan Agong memperkenan kuasa tertentu untuk memerangi wabak itu.

Menurut beliau, jika vaksin Covid-19 diwajibkan untuk rakyat, sesiapa yang enggan menerima suntikan itu boleh dipenjara hingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 11(3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 turut memberikan kuasa kepada kerajaan untuk wajib menerima “rawatan atau imunisasi.”

Isu sama ada kerajaan akan mewajibkan orang ramai mengambil vaksin Covid-19 timbul susulan kebimbangan mengenai beberapa kes kematian di luar negara membabitkan mereka yang diberikan suntikan vaksin.

Kalangan pakar perubatan sebelum ini menyatakan, vaksin Covid-19 mungkin memudaratkan kesihatan warga emas dan mereka yang menghidap penyakit tertentu.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 untuk rakyat akan dibuka tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, setiap individu akan menerima dua dos vaksin bagi memastikan perlindungan penuh daripada jangkitan virus itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.