Ahli parti mahu saya sokong GRS, kata Kitingan

Ahli parti mahu saya sokong GRS, kata Kitingan

Presiden STAR itu berkata partinya berpendapat adalah munasabah menyokong kerajaan negeri demi kestabilan politik.

Jeffrey Kitingan
Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata partinya tidak pernah meninggalkan perjuangannya dan menegaskan STAR sentiasa konsisten memperjuangkan hak Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, berkata keputusan beliau menyokong kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah berdasarkan kehendak majoriti ahli parti dan ketua-ketua bahagiannya.

Adun Tambunan itu berkata keputusan tersebut dibuat demi kestabilan politik, memandangkan gabungan yang dipimpin ketua menteri Hajiji Noor tidak memenangi cukup kerusi untuk bentuk kerajaan sendiri.

“GRS mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik, yang turut menjadi hasrat STAR.

“Oleh itu, adalah munasabah untuk menyokong kerajaan perpaduan ini. Lagipun, pilihan raya telah selesai dan kini masa untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada FMT.

Kitingan berkata keputusan beliau itu tidak bermakna STAR meninggalkan perjuangannya, sambil menegaskan bahawa parti itu sentiasa konsisten memperjuangkan hak Sabah, sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang.

Beliau mengambil tempat sebagai penyokong kerajaan semasa majlis angkat sumpah dan persidangan pertama DUN Sabah ke-17 pagi tadi, meskipun beliau sebelum ini berkata akan duduk di blok pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.