
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah merancang menebus guna sebuah pulau dari perairan berhampiran Langkawi dan menjadikannya kawasan pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar RM40 bilion.
Satu usahasama ditandatangani dengan Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) yang berpusat di Kuala Lumpur hari ini untuk projek yang dirancang di Padang Mat Sirat berhampiran lapangan terbang.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek itu meliputi 1,979 ekar, dengan 90% daripadanya pulau buatan di kawasan perairan itu.
Katanya, sebaik selesai kawasan berkenaan akan mempunyai pembangunan mewah termasuk hotel, pejabat dan menara perniagaan, pusat beli-belah, hospital serta universiti.
Dalam sidang media di Wisma Darulaman, Sanusi berkata projek itu, Widad@Langasuka, akan mengambil 15 hingga 20 tahun untuk disiapkan.
Katanya, WBG sudah membayar yuran komitmen berjumlah “jutaan ringgit” kepada kerajaan Kedah yang dikembalikan apabila projek itu siap 40%.
Sanusi berkata, WBG akan mematuhi keperluan perundangan untuk memulakan projek itu.
Dalam siaran akhbar, WBG berkata syarikat itu milik Bumiputera dengan pemiliknya Ikmal Opat Abdullah berasal dari Kedah.
Ikmal berkata, projek itu akan memacu ekonomi tempatan, membuka lebih peluang pekerjaan dan melonjakkan status Kedah selain menarik lebih banyak pelabur asing.
Ciri lain projek itu termasuk pembangunan padang golf bersebelahan Marina Yacht Club.
WBG berkata, ia turut merancang menjadi tuan rumah acara tahunan Red Bull Air Race, Power Boat Race dan perlumbaan jet ski, selain festival bunga api untuk mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama.