
Sesetengah pihak berkata, usaha memerangi wabak tidak memerlukan darurat seperti yang dihadapi negara semasa memerangi ancaman komunis pada tahun-tahun selepas kemerdekaan daripada pemerintahan Inggeris dan sekali lagi selepas rusuhan kaum pada 1969.
Pihak lain pula berkata, perisytiharan darurat yang merangkumi penggantungan Parlimen akan membantu ekonomi Malaysia pulih.
Dalam kumpulan kedua ini adalah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang berkata, hampir separuh dunia membuat perisytiharan sama dalam memerangi wabak Covid-19.
Ini menimbulkan kritikan daripada bekas perdana menteri Najib Razak yang berkata, Malaysia satu-satunya negara di dunia yang menggantung Parlimen atas nama Covid-19.
FMT melihat suasana darurat Covid-19 di negara lain.
Itali
Itali antara negara pertama yang mengisytiharkan darurat selepas melaporkan dua kes pertama Covid-19.
Diisytiharkan pada Jan tahun lalu, perintah darurat itu dilanjutkan beberapa kali dan akan berakhir pada 5 Mac.
Seperti Malaysia, darurat di Itali membolehkan kerajaan memintas prosiding di Parlimen ketika memperkenalkan peraturan baharu dan mengisystiharkan zon merah di bawah sistem berperingkat negara itu dalam mengekang penyebaran wabak Covid-19.
Walaupun kegiatan badan Parlimen dibataskan atas pertimbangan “langkah mendesak yang tidak dapat ditangguhkan”, Dewan Rendah Itali masih bermesyuarat dalam sesi kecil bagi meneruskan dialog dengan cabang eksekutif kerajaan dan mendapat maklumat mengenai pengurusan kecemasan Covid-19.
Undang-undang Itali tidak membenarkan darurat nasional dipanjangkan melebihi tempoh 12 bulan setelah lanjutan pertama. Ini bermaksud darurat mesti berakhir pada 31 Jul.
Jepun
Jepun mengisytiharkan darurat Apr lalu di kota-kota besar di negara itu selama sebulan.
Awal tahun ini, perdana menteri Yoshihide Suga mengumumkan satu lagi perintah darurat selama sebulan di Tokyo dan wilayah kejiranannnya.
Bawah perisytiharan terbaru, sekolah tetap dibuka tetapi restoran, bar dan kompleks komersial mesti ditutup menjelang 8 malam.
Namun syarikat yang mengabaikan garis panduan tidak boleh didakwa. Mereka hanya akan dinamakan dinamakan dan dimalukan.
Dalam tempoh ini, badan legislatif Diet atau Parlimen Jepun, terus bersidang mengikut SOP yang ketat.
Sesi terbaru bermula pada 18 Jan.
Filipina
“Perisytiharan bencana” di Filipina dibuat pada Mac lalu. Pada September, di tengah lonjakan kes Covid-19, ia dilanjutkan selama satu tahun.
Di bawah lanjutan tersebut, kerajaan diberi kuasa untuk menggunakan dana bagi membendung penyebaran virus itu, mengawal harga barang keperluan asas, dan menyediakan perkhidmatan asas kepada penduduk terjejas.
Dewan Perwakilan Filipina terus bersidang melalui kombinasi pertemuan fizikal dan maya bagi membolehkan kerajaan meluluskan undang-undang berkaitan dengan Covid-19.
Pengundian dilakukan melalui telefon, aplikasi pesanan, dan alat persidangan video
Perancis
Perancis mengisytiharkan “perintah darurat kebersihan” pada Mac lalu untuk melaksanakan sekatan ke atas perhimpunan awam dan membolehkan larangan pergerakan dan penyitaan aset perkhidmatan yang dianggap perlu.
Ia ditarik balik pada Julai susulan penurunan jumlah jangkitan.
Berikutan gelombang jangkitan kedua, kerajaan mengisytiharkan darurat kesihatan awam pada Okt.
Sebarang lanjutan mesti diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Perancis. Terdapat dua lanjutan. Lanjutan kedua dijadual berakhir pada 16 Feb.
Majlis kebangsaan itu juga mengurangkan kekerapan mesyuaratnya selain mengadakannya secara jarak jauh.
Mesyuarat jawatankuasa terbatas pada perbincangan dan perbahasan mengenai isu berkaitan dengan krisis Covid-19.