
Bung, yang juga menteri kerja raya negeri berkata, ia serupa dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Semenanjung untuk mengawasi perkhidmatan air dan pembentungan di negeri itu.
Beliau yakin suruhanjaya air akan meningkatkan kecekapan negeri dan mengurangkan birokrasi dalam menangani masalah air sejak sekian lama di Sabah.
“Kami tidak mempunyai SPAN di sini, hanya jabatan air. Dengan pengkorporatan ini, kami akan mengubah imej perkhidmatan air negeri.
“Saya telah mengarahkan Pengarah (Jabatan) Air negeri (Edward Lingkapo) membuat kertas kerja yang akan diserahkan kepada Kabinet negeri untuk mengubah jabatan tersebut menjadi suruhanjaya.
“Pindaan terhadap enakmen air Sabah mesti dibuat di Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu sebelum ini dapat dilakukan,” katanya dalam sidang media.
Bung berkata, kerajaan negeri kerugian wang setiap tahun melebihi sedekad akibat masalah berkaitan air.
Katanya, pelabur juga menarik diri selepas mengetahui bekalan air tidak stabil di negeri itu.
“Sejak 15 tahun lalu, kerajaan membelanjakan RM500 juta setahun untuk membekalkan air dan keuntungannya tidak sampai RM200 juta. Ini bermaksud kita rugi lebih RM300 juta setiap tahun.
“Masalah ini tidak akan selesai dan ia tetap sama untuk mana-mana kerajaan masa depan. Saya telah bangkit di DUN sebelum ini kita harus berani melakukan perubahan sekiranya rakyat ingin menikmati air bersih tanpa menghadapi sebarang masalah.”
Untuk mengatasi kekurangan air, Bung berkata, negeri itu mempunyai penyelesaian jangka pendek dan panjang, termasuklah pembinaan Empangan Kaiduan di Penampang.
Terdapat juga projek bekalan air Fasa 3 Kota Kinabalu, yang dijangka dapat memenuhi keperluan seluruh pantai barat Sabah.
Usaha jangka pendek akan melibatkan pembinaan tangki pra-pemendapan dan kemudahan penyimpanan di luar sungai. Bagaimanapun, katanya, ini hanya dapat mengatasi masalah selama 15 hingga 20 tahun akan datang.
Bung berkata, beliau sedar empangan itu, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 bilion, mendapat bantahan orang ramai, terutama masyarakat Orang Asal.
“Tetapi, tidak ada jalan keluar. Kita mesti teruskan (dengan projek itu). Kita masih perlu mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet negeri dan mengadakan penglibatan umum untuk berlaku adil kepada rakyat.
“Kami akan menemui orang ramai dan berunding. Kami juga akan membina rumah untuk mereka yang terjejas, berikan jalan raya, air, elektrik, tanah untuk bertani dan memperbaiki cara hidup mereka. Jadi, saya rasa tidak patut ada masalah.”
Beliau berkata, projek empangan itu akan melibatkan kira-kira 100 orang daripada 30 keluarga dan hanya sebuah kampung akan terjejas.
Katanya, projek itu, yang pada mulanya ditetapkan di Mandalipau bersebelahan Papar, akan dipindahkan ke hulu sungai sama ke Kaiduan.
“Empangan di Papar itu, dengan kos sama, hanya mampu memenuhi keperluan rakyat selama 60 tahun. Sekiranya ia ditempatkan di Kaiduan, ia boleh berfungsi antara 85 hingga 100 tahun.
“Itu sebabnya saya minta semua pihak tidak mempolitikkan isu ini kerana air adalah masalah besar. Setiap hari, telefon saya dibanjiri panggilan dan mesej bertanyakan mengapa tidak ada air.”