Biden terus dasar Zionis, jadikan negara lain ‘buah catur’, kata Hadi

Biden terus dasar Zionis, jadikan negara lain ‘buah catur’, kata Hadi

Hadi berkata Biden meneruskan dasar menyokong campur tangan urusan negara Islam, dengan perubahan mengikut keadaan semasa sahaja.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pelantikan Joe Biden sebagai presiden Amerika Syarikat tidak akan memberi kesan besar ke atas negara Islam.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abudl Hadi Awang mendakwa kemenengan Joe Biden sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) tidak akan memberi kesan besar ke atas negara Islam, sebaliknya hanya akan meneruskan dasar sama yang dipengaruhi oleh golongan Zionis.

Hadi berkata, yang berbeza hanyalah pendekatan diplomatik lebih lembut bagi meraih pengaruh, tetapi terus menjadikan negara lain “buah catur” mengikut kehendak pemain dan dapat “bergerak sendiri”.

“Biden adalah penyokong dasar terdahulu terhadap Israel dan campur tangan dalam urusan negara Islam, seperti menyerang Afghanistan, ‘mengkhadamkan’ puak Kurdi di sempadan Turki, Syria, Iraq dan Iran.

“Termasuklah penggerak perang proksi di Syria, Libya dan Yaman, memecah belahkan Iraq, serta mengepung Iran dan mengugut semua negara yang tidak mengikut kehendaknya,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin mengucap tahniah kepada Biden atas kejayaan dalam pilihan raya presiden AS.

Muhyiddin berkata, Malaysia mengikuti dengan rapat perkembangan proses pilihan raya negara itu.

Katanya, Malaysia mahu memperkukuh perkongsian sedia ada dengan AS pada saat masyarakat antarabangsa berusaha menangani pelbagai cabaran global kesan daripada pandemik Covid-19.

Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat berkata, perubahan jawatan presiden AS kepada Biden berlaku disebabkan pendekatan campur tangan oleh presiden terdahulu gagal serta tidak dapat untuk menguasai keadaan ketika itu.

“Maka perlu diubah tangan pemainnya. Biden tetap meneruskan polisi yang sama, dengan perubahan mengikut keadaan semasa sahaja, khususnya dalam menghadapi kebangkitan semula umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, selepas Biden diumumkan sebagai presiden AS, sudah ada negara yang berlumba-lumba untuk mendukung si pemenang kerana mereka melihat peluang untuk berpaut dengan negara besar itu.

“Mereka sekadar mahu menumpang harapan bagi mengekalkan kuasa di bawah naungan Amerika dan mendapatkan kuasa dengan pertolongannya.

“Peranan Amerika Syarikat dapat diteruskan selagi ada pihak yang bersedia menjadi ‘khadam’ mereka, atau meminta untuk ‘menjadi khadam’. Kelompok itu pasti akan dipergunakan lagi seperti biasa,” katanya.

Biden menang pilihan raya presiden AS ke-46 dengan memperoleh 284 undi elektoral manakala pencabarnya, Donald Trump dari parti Republikan, hanya meraih 214 undi.

Keputusan itu menyaksikan Biden menjadi calon Demokrat pertama dalam tempoh 24 tahun memenangi undi elektoral di Arizona selepas menang besar di California, New York, Minnesota dan New Hampshmpire yang pernah dimenangi Hillary Clinton pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.