
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Muhamad Munir Bani dalam kenyataan berkata, keputusan untuk mengehadkan bilangan jemaah di masjid yang dibuat bagi keselamatan umat Islam.
“Baginda kesal kerana ada segelintir pihak tidak berfikir panjang dan hanya mementingkan diri dengan sanggup memudaratkan jemaah lain sekiranya masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.
“Baginda tidak mahu lebih ramai lagi rakyat negeri Selangor mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Tambahnya, statistik terbaru di Selangor melibatkan kes jangkitan Covid-19 masih meningkat dengan jumlah kematian yang tinggi.
Ketika ini, jumlah kes positif di Selangor mencecah lima digit dan tiga digit bagi jumlah kematian.
Sultan Selangor turut berharap tidak ada lagi pihak yang bertelagah berhubung keputusan yang dibuat sebulat suara oleh pihak berwajib.
“Ini demi keselamatan umat Islam di negeri Selangor. Tidak bererti jika masjid dan surau ditutup maka amal ibadah juga akan terhenti,” katanya.
Muhamad Munir berkata, Sultan Selangor juga memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam yang belum boleh berjemaah solat fardu dan menunaikan solat Jumaat di masjid kerana perlu mematuhi SOP di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).
Jelasnya, Sultan Selangor turut membaca sendiri rayuan yang disalurkan menerusi Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abd Wahid dan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkait perkara itu.
“Baginda menegaskan keputusan bagi mengehadkan bilangan jemaah di masjid bertjuan menjaga keselamatan seluruh umat Islam,” katanya.