Tumpu ekonomi rakyat, bukan sasar defisit rendah, kata Umno kepada kerajaan

Tumpu ekonomi rakyat, bukan sasar defisit rendah, kata Umno kepada kerajaan

Defisit dan hutang kerajaan bukan perkara yang perlu ditakuti atau dielakkan sepanjang masa.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata hingga Ogos ini banyak lagi cabaran akan timbul, termasuklah pengangguran dan pendapatan anak muda yang memerlukan tindakan tangkas melangkaui apa yang diluluskan Belanjawan 2021.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan mencadangkan kerajaan lebih menumpukan kepada ekonomi rakyat dalam pengurusan kewangan tahun ini.

Katanya, sebarang sasaran untuk mencapai defisit rendah disifatkan terlalu mengekang tindakan untuk ekonomi rakyat dan tidak relevan ketika ini.

“Pendek cerita, defisit dan hutang kerajaan bukan perkara yang perlu ditakuti atau dielakkan sepanjang masa.

“Yang kita harus lebih risau adalah hutang rakyat yang bertambah. Kadangkala, dengan menambah hutang kerajaan jika ke arah perkara yang betul, boleh menurunkan beban rakyat,” katanya di Facebook.

Shahril berharap kerajaan bertindak segera andai kata perlu belanjawan dan perbekalan tambahan.

Katanya, ini termasuk jika perlu meningkatkan kadar siling hutang, atau menerbitkan bon untuk perbelanjaan mengurus (OE).

“Selagi ia untuk rakyat, tak membazir, tak boros tanpa had – tentunya mesti cermat, tetapi mesti belanja,” katanya.

Beliau berkata, isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya salah satu masalah besar kepada generasi muda dan ibu bapa muda.

Katanya, hingga Ogos ini banyak lagi cabaran akan timbul, termasuklah pengangguran dan pendapatan anak muda yang memerlukan tindakan tangkas melangkaui apa yang diluluskan Belanjawan 2021.

“Hutang kerajaan boleh diurus diselenggara. Sakit hutang rakyat yang bawa bencana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.