Ibu kesal tak ‘pertahan’ anak angkat 7 tahun, didera, mati lemas dalam tong air

Ibu kesal tak ‘pertahan’ anak angkat 7 tahun, didera, mati lemas dalam tong air

Norlida Abu Hassan reda dengan pemergian anak lelaki yang pernah dijaganya lebih enam tahun, namun terkilan kerana mangsa diperlakukan sedemikian rupa.

Norlida Abu Hassan (tengah) bersama dua anaknya menunjukkan gambar anak angkatnya yang mesra dipanggil ‘Adik’ ketika ditemui di Taman Seri Jati, Batu Berendam hari ini. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Luluh hati seorang ibu apabila menerima berita anak angkatnya berusia 7 tahun yang dijaga sebelum ini, meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati dipercayai akibat didera.

Norlida Abu Hassan, 50, berkata walaupun reda dengan pemergian anak lelaki jagaannya, namun terkilan kerana kanak-kanak yang dijaga seperti darah daging sendiri dengan penuh kasih sayang itu diperlakukan sedemikian rupa.

Menurut Norlida, kali terakhir beliau bertemu anak angkatnya yang mesra dengan panggilan “Adik” November lepas di Rawang, Selangor, sebulan selepas kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarganya di Krubong di sini.

“Saya menyesal…sepatutnya saya pertahankan Adik, tetapi kerana faham keadaan ibunya yang mungkin menanggung rindu, jadi saya rela dan biarkan dia kembali ke pangkuan mereka.

“Tetapi, saya tidak menyangka anak yang ditatang bagai minyak penuh, hilang sekelip mata dalam keadaan sebegitu,” katanya di Taman Seri Jati, Batu Berendam.

Norlida berkata, sepanjang lebih 6 tahun menjaga Adik, ibu kandung kanak-kanak malang itu hanya beberapa kali datang menemuinya, tetapi kembali berhubung ketika cuba mendapatkan dokumentasi kemasukan Tahun Satu daripada ibu kandungnya.

Ketika itu, Norlida tidak menyangka yang ibu kandung Adik meluahkan hasrat untuk menjaganya semula tahun lepas, dan setelah menyerahkan anak angkatnya itu, dia tidak lagi berpeluang menemui kanak-kanak berkenaan, malah talian telefonnya juga disekat.

“Ada sekali kami berpeluang bertemu dengannya secara senyap-senyap di kedai makan di Rawang, ketika Adik dibawa bapa tirinya berjumpa kami dan Adik pernah cakap dia rindu Ummi.”

Katanya, pemergian Adik bukan saja memberi kesan kepada dirinya, malah seluruh ahli keluarga serta kenalan mereka kerana perwatakannya yang peramah, periang dan mudah mesra, walaupun baru kenal.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya.

Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air rumahnya dalam kejadian kira-kira 4 petang, namun siasatan awal polis mendapati ada kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.