Saya tak abai tugas sebagai Ahli Parlimen, Adun, Azmin jawab saman pengundi

Saya tak abai tugas sebagai Ahli Parlimen, Adun, Azmin jawab saman pengundi

Menteri kanan (ekonomi) itu menafikan dirinya melanggar tugas fidusiari sebagai Ahli Parlimen dan menipu pengundi ketika keluar dari PKR dan bergabung dengan PPBM.

Azmin Ali berbual dengan pengundi ketika berkempen di Gombak pada 2018. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kanan (Ekonomi), Azmin Ali menafikan dirinya melanggar tugas fidusiari sebagai Ahli Parlimen dan menipu pengundi dengan keluar dari PKR dan bergabung dengan PPBM untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional tahun lalu.

Sebagai tindak balas terhadap tuntutan mahkamah difailkan 10 pengundi Gombak, beliau berkata, keputusan meninggalkan PKR diambil untuk memastikan pengundinya di Gombak tidak menjadi “mangsa” perebutan kuasa dalam bekas partinya dan perpecahan dalam Pakatan Harapan ketika itu antara parti komponen (DAP, PKR, Amanah dan PPBM).

Azmin berkata, setiap janji pilihan raya yang dibuatnya kepada pengundi semasa kempen pilihan raya umum ke-14 dilakukan di bawah PH, dan bukan kapasiti sendiri sebagai calon Parlimen Gombak serta DUN Bukit Antarabangsa.

“Saya ingin menyatakan tiada undang-undang duluan untuk mengakui manifesto pilihan raya sebagai sesuatu yang mengikat wakil rakyat, dan untuk tindakan sivil difailkan pula kelak.

“Segala kegagalan melaksanakan manifesto terletak pada PH, dan bukan saya sahaja,” katanya dalam pernyataan pembelaan yang dilihat FMT.

Katanya, beliau tetap komited memerangi rasuah dalam politik, tidak kira pihak mana beliau berada.

Beliau juga mempersoalkan motif di sebalik tuntutan itu, dengan berkata 10 pengundi itu hanyalah “boneka” yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan reputasinya.

“Bagaimana mereka dapat membuktikan mereka benar-benar memilih saya semasa pilihan raya kerana setiap undi harus dirahsiakan?” soalnya.

Azmin berpendapat, saman dikemukakan pengundi itu membayangkan beliau tidak mempunyai hak untuk “kebebasan berkesatuan”.

“Saya menggunakan hak saya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menyertai parti atas pilihan saya sendiri.

“Perkara 48 tidak menyatakan wakil rakyat akan hilang kelayakan setelah bergabung dengan parti politik lain,” kata Azmin.

Peguamnya, Nizamuddin Abdul Hamid sebelum ini berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk membatalkan tuntutan pengundi terbabit kerana dianggap tindakan remeh.

Bekas timbalan presiden PKR itu memenangi kerusi Parlimen Gombak pada 9 Mei 2018 dengan majoriti 48,721 undi dalam pertarungan tiga penjuru menentang Barisan Nasional dan PAS. Beliau juga terpilih sebagai Adun Bukit Antarabangsa.

Sepuluh pengundi itu meminta perisytiharan Azmin, sebagai pemegang amanah, mempunyai kewajipan fidusiari sebagai wakil rakyat.

Mereka juga menuntut perisytiharan Azmin melakukan penipuan terhadap mereka dan melanggar sumpah perlembagaannya di bawah Perkara 59 (1) yang dibaca bersama Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif mendakwa Azmin menyebabkan kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020 apabila bergabung dengan PN, termasuk BN dan orang yang diakui Azmin sendiri “terbabit dalam amalan rasuah”.

Pengundi terbabit juga mendakwa Azmin berjanji mematuhi manifesto pilihan raya PH 2018, serta antara lain menangani kesilapan BN ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.