680 ditahan ingkar PKP

680 ditahan ingkar PKP

Ismail Sabri Yaakob berkata, 630 dikompaun manakala 49 individu direman.

Antara kesalahan dilakukan termasuk merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran dan kegagalan memakai pelitup muka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan 680 individu yang mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 630 dikompaun manakala 49 individu direman.

Antara kesalahan yang direkodkan termasuk merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (140), tidak memakai pelitup muka (139), tiada penjarakan fizikal (136), gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri serta pelanggan (80), premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (30), serta lain-lain (155).

Dalam pada itu, pihak berkuasa berjaya menahan 16 orang pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong serta merampas enam kenderaan darat dalam Op Benteng yang diadakan di seluruh negara.

Ismail berkata 800 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan kesemuanya telah dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara, menjadikan jumlah kumulatif dari 24 Julai 2020 sehingga 1 Feb 2021, seramai 114,861 individu.

“Dari jumlah itu, seramai 8,367 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 78 Hotel dan 13 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara,” tambahnya.

Setakat ini, 477 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan dan 106,017 yang lain dibenarkan pulang. Seramai 7,262 warga asing pula telah menjalani ujian saringan dan dari jumlah itu, 85 didapati positif Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.