
Dalam webinar anjuran pemantau pilihan raya, Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pusat Kewartawanan Bebas, Aliran, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia dan Save Rivers berkata, saman itu difailkan bagi mengkaji semula keputusan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menasihati Agong meluluskan Ordinan Darurat yang menyebabkan sidang Parlimen digantung.
“Kami ingin mahkamah mengisytiharkan sekiranya mereka mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang percubaan untuk memintas peruntukan Perlembagaan yang memerlukan semua undang-undang dibawa ke Parlimen terlebih dahulu.
“Secara khusus, kami ingin mendapatkan perisytiharan mahkamah sama ada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu); atau Seksyen 14 Ordinan tersebut yang telah menggantung Parlimen; dan Perkara 150(8) Perlembagaan yang mengetepikan bidang kuasa mahkamah, adalah tidak berperlembagaan,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.
NGO itu percaya kerajaan sudah memiliki cukup kuasa untuk menangani krisis Covid-19 dan tidak perlu menggantung Parlimen.
“Kehilangan semak dan imbang dalam demokrasi berparlimen akan mengakibatkan kesan jangka panjang tidak dapat dipulihkan yang akan memusnahkan negara kita kerana kerajaan yang tidak disemak mudah menjadi kerajaan drakonian dan kleptokratik,” kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melalui Tetuan Messrs AmerBon, dengan peguam untuk saman itu ialah Edmund Bon.
Selain NGO itu, beberapa ahli politik turut memfailkan tuntutan sama terhadap kerajaan.
Baru-baru ini, tiga wakil rakyat dari Pakatan Harapan – Ahli Parlimen Pulai daripada Amanah, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul (PKR) dan Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP) memfailkan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan memohon perisytiharan darurat dan menggantung sidang Parlimen serta DUN.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada 25 Jan lalu turut memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan memohon perisytiharan darurat.
Beliau mendakwa nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong bertentangan undang-undang.
Beliau juga mahu mahkamah memerintah Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional menasihatkan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat 2021.
Bekas pemimpin Umno, Khairuddin Abu Hassan turut memfailkan saman pemula terhadap Muhyiddin, dengan mendakwa beliau tidak mempunyai kesahan untuk menasihatkan Agong mengisytiharkan darurat.