Keluarga tahanan mati di lokap polis tuntut keadilan

Keluarga tahanan mati di lokap polis tuntut keadilan

Ketika ditahan polis, bapa mangsa mendapati ada kecederaan di belakang kepala dan telinga anaknya.

Keluarga di Gurun, Kedah dimaklumkan Mohd Afis Ahmad ditahan kerana menyamar sebagai polis. (Gambar Reuters)
GEORGE TOWN:
Genap seminggu lalu, penjual ayam dan bekas sukarelawan simpanan polis, Mohd Afis Ahmad ditahan di rumahnya dengan tangan bergari selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis.

Keesokannya, 28 Jan, beliau meninggal dunia.

Keluarganya di Gurun, Kedah, kini menuntut jawapan bagaimana lelaki berusia 31 tahun itu mati dalam lokap polis di Yan minggu lalu.

Mereka berkata, permintaan untuk mendapatkan penjelasan tidak diendahkan.

Afis, 31, disahkan meninggal dunia oleh polis pada Khamis lalu dan bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan hentakan objek tumpul di kepala.

Beliau mempunyai dua anak, berusia 9 dan 12 tahun, bersama isterinya yang telah berpisah dengannya.

Mohd Afis Ahmad.

Bapanya, Ahmad Daud, 64, berkata Afis ditangkap pada 27 Jan lalu di rumah rakannya di Jeniang dan dibawa ke rumah mereka di Kampung Pulau Chengai, Gurun, kira-kira 6 petang.

Ahmad berkata, enam lelaki berpakaian biasa, mendakwa diri polis, mengiringi Afis dengan tangan bergari di belakang. Polis kemudian menggeledah rumahnya kira-kira 30 minit.

Katanya, polis tidak mengambil apa-apa dari rumahnya.

Afis, katanya, dilihat mengalami pendarahan di belakang kepala dan telinganya.

Seorang daripada polis itu memberitahu ibu Afis, Asnah Ahmad, yang berada di rumah ketika itu, anaknya ditahan kerana menyamar sebagai polis.

Mereka kemudiannya memeriksa sebuah motosikal yang diletakkan di luar rumah sama ada ia dicuri. Tetapi, ia tidak disita selepas pemeriksaan menunjukkan ia tidak dilaporkan dicuri.

Ahmad berkata, motosikal itu milik rakan Afis.

Keesokannya, Ahmad menerima panggilan daripada telefon bimbit Afis yang dihubungi “Inspektor Amri” di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia. Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan.

Seorang ahli keluarga Afis kemudiannya bergegas ke Hospital Yan dan diberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Setar untuk bedah siasat.

Ahmad kemudian ke balai polis Yan untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca kematian Afis dan diberitahu anaknya mati dalam lokap. Anggota polis itu kemudian meminta Ahmad pulang.

Keesokannya, 29 Jan, keluarga itu dibenarkan melihat mayat Afis, dan mereka mendakwa kepalanya dipukul.

Ahmad berkata, sehingga hari ini, barang peribadi Afis seperti telefon bimbit dan dompetnya belum dikembalikan kepada mereka.

Keluarganya mendapati dari 30 Jan hingga 1 Feb lalu, polis memanggil rakan Afis dan meminta mereka ke balai polis untuk mengadakan perbincangan.

“Dia masih muda. Saya sangat sedih. Saya mahukan keadilan untuk anak saya. Saya mahu siasatan terperinci,” kata Asnah sambil menahan sebak.

Keluarga itu menceritakan pengalaman mereka menerusi sidang media dalam talian anjuran Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT).

M Visvanathan daripada EDICT berkata, kematian Afis tidak patut berlaku ketika dalam penahanan dan beliau mendesak keluarganya menggesa siasatan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, jika ada bukti Afis diserang, anggota polis bertanggungjawab perlu didakwa di mahkamah.

FMT sudah menghubungi polis daerah Yan untuk komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.