
Sambil menyatakan Ahli Parlimen sudah membincangkan dan menyokong langkah tersebut, Shahril berkata kerajaan harus “bersikap budiman” dan tidak mengubah pendirian mereka dalam isu ini “hanya kerana pengundi muda tidak memihak kepada parti pemerintah”.
“Cari jalan untuk menang, bukan cara untuk lari,” katanya di Twitter.
Shahril berkata, “bahkan mereka yang berusia lebih dari 21 tahun akan mengecam anda” sekiranya kerajaan tidak meneruskan langkah itu, sambil menambah, mereka yang “bermain kotor” akan kehilangan kredibiliti.
Komennya muncul susulan forum dalam talian di mana Ketua Pemuda PPBM Wan Ahmad Fayhsal, yang juga timbalan menteri belia dan sukan, dilaporkan berkata, rakyat belum bersedia untuk mengundi pada usia 18 tahun.
Presiden Dewan Negara Rais Yatim juga baru-baru ini mendakwa, keputusan untuk menurunkan usia layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dibuat secara tergesa-gesa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pada 2019, Parlimen bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya. Undang-undang tersebut telah diwartakan secara rasmi pada September 2019.
November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan Dewan Rakyat pelaksanaan usia layak mengundi baharu dan pendaftaran pengundi automatik dijangka bermula selewat-lewatnya Julai.
Shahril berkata, generasi muda harus diberi hak dan kepercayaan untuk menentukan masa depan mereka, terutama dengan cabaran yang mereka hadapi sekarang.
“Ini sudah dipersetujui bersama, jadi teruskan sahaja,” katanya.