PM: Microsoft, Google, Amazon, TM diberi kebenaran bersyarat urus data skala hiper

PM: Microsoft, Google, Amazon, TM diberi kebenaran bersyarat urus data skala hiper

Kerajaan bercadang melantik tiga syarikat ICT tempatan sebagai ‘manage service provider’ untuk mengurus perkhidmatan CSP kepada agensi sektor awam.

Microsoft, Google, Amazon serta Telekom Malaysia diberi kebenaran bersyarat untuk membina dan mengurus pusat data berskala hiper dan ‘cloud services’ di negara ini.
PETALING JAYA:
Putrajaya memberi kebenaran bersyarat kepada empat syarikat penyedia perkhidmatan awan (CSP), iaitu Microsoft, Google, Amazon serta Telekom Malaysia untuk membina dan mengurus pusat data berskala hiper dan “cloud services”.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM12 bilion hingga RM15 akan dilaburkan oleh syarikat CSP dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu katanya, pusat data berskala hiper serta perkhidmatan awan hibrid akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis.

“Kerajaan juga sudah mencadangkan untuk melantik tiga syarikat ICT tempatan sebagai “manage service provider” (MSP) untuk bekerjasama dengan CSP dalam mengurus perkhidmatan CSP kepada agensi sektor awam, seiring dengan hasrat untuk memperkasakan keupayaan syarikat tempatan,” katanya.

Menurutnya, tiga syarikat itu adalah Enfrasys Solution SdnBhd, Prestariang Systems Sdn Bhd dan Cloud Connect Sdn Bhd.

Sebagai langkah memperkasakan perkhidmatan pengkomputeran awan sektor awam, kerajaan menerusi strategi “cloud first” sudah menyasarkan migrasi 80% data awan ke sistem itu menjelang akhir 2022, kata beliau.

“Selain pengumpulan dan pengurusan data secara lebih berkesan dan lancar, strategi ini dapat mengurangkan kos kerajaan dalam pengurusan teknologi maklumat dalam jangka panjang.

“Perkhidmatan “cloud” akan membolehkan aplikasi ‘Big Data”, AI, IoT’ dan lain-lain digunakan untuk memantapkan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata, keselamatan siber dan data tetap menjadi antara tumpuan utama Putrajaya dalam merealisasikan visi negara berteknologi digital.

Katanya, data rakyat akan dikendalikan dengan penuh hemat berdasarkan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan melalui agensi pelaksana, iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Di sini saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan amat komited dalam memantau keselamatan sistem pengurusan data ini, untuk mengelakkan sebarang ancaman siber masa depan.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia dapat memanfaatkan teknologi digital sepenuhnya dan cekal mendepani peralihan ke ekonomi digital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.