
SANDAKAN: Seorang pengurus ladang di Sandakan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, kerana disyaki telah menyalahgunakan wang tabung pekerja ladang berjumlah kira-kira RM20,000.
Sumber berkata, suspek berusia 39 tahun yang disyaki melakukan kesalahan itu pada 2018 ditahan di pejabat SPRM Sandakan, kira-kira jam 9 pagi tadi.
“Wang terbabit telah dikeluarkan oleh suspek menerusi enam keping cek di sebuah bank,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek kini dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada esok,” katanya.