
Menurutnya, hampir semua yang hadir dalam mesyuarat itu mengundi menyokong mengekalkan tawaran itu.
“Dalam EGM, 99.27% undi menyokong perjanjian itu. Saya katakan itu 100% kerana baki 0.73% tidak hadir,” katanya dalam sidang media di Hotel Sunway Resort, di sini.
Beliau berkata, kumpulan itu menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membersihkan nama lembaga pengarah daripada sebarang salah laku dalam siasatannya ke atas cadangan perjanjian itu.
Cheah mempertahankan cadangan pengambilalihan itu dengan berkata, tawaran berkenaan akan membolehkan pemegang saham IJM terus kekal melabur dalam kumpulan diperbesarkan itu kerana ia merangkumi 10% tunai dan 90% saham Sunway.
“Kami bukan bayar tunai dan singkirkan mereka. Mereka akan kekal bersama kami dalam kumpulan Sunway lebih besar.”
Pada 12 Jan lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki semua 3.51 bilion saham biasa IJM pada harga RM3.15 sesaham, dengan tarikh akhir penerimaan 6 April ini.
Awal bulan ini, Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan tidak menerima tawaran Sunway untuk 13.5% sahamnya dalam konglomerat itu.
Tawaran ini bersyarat dengan Sunway menerima lebih 50% saham undian IJM menjelang tarikh tutup. Tetapi, Sunway memerlukan kelulusan 90% pemegang saham untuk mewajibkan penyahsenaraian IJM dan menjadikannya persendirian – ambang yang tidak dapat dicapai dengan PNB menolak perjanjian itu.
Cheah berkata, Sunway telah memperoleh penerimaan untuk pegangan hampir menyamai 13.5% saham milik PNB, menunjukkan pemegang saham IJM lain secara efektif telah mengimbangi penolakan dana itu.
Beliau tetap yakin Sunway mampu memperoleh penerimaan mencukupi sebelum tarikh akhir.
Katanya, Sunway tidak akan meningkatkan tawaran itu jika gagal mencapai ambang diperlukan.
“Kami telah mengemukakan tawaran terbaik yang mampu kami berikan. Jika ia tidak diterima, kami akan berundur.”
IJM pada asasnya dimiliki pelbagai dana institusi, dengan pemegang saham terbesarnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki 16.8% kepentingan.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, agensi itu sedang menyiasat cadangan pengambilalihan itu dengan memfokuskan kemungkinan isu rasuah dan tadbir urus.