
Syarikat itu meminta beberapa pekerja untuk bersetuju dengan pengurangan sementara gaji pokok sebanyak 15% atau 20% mengikut jawatan mereka, menurut memo dalaman bertarikh 1 Mac yang dilihat Bloomberg News. Sebilangan pekerja juga diminta untuk mengambil cuti tanpa gaji satu hari dalam seminggu.
Berpandukan kepada memo, pemotongan akan berkuat kuasa sehingga Mei. Pengurusan kanan secara sukarela bersetuju untuk mengetepikan 20% daripada gaji mereka untuk tempoh sama.
Ini kali kedua Kumpulan Genting terpaksa melakukan pemotongan gaji sejak pandemik bermula.
Pada April, konglomerat diketuai syarikat induk Genting Bhd, mengumumkan pengurangan gaji pertama kumpulan sejak penubuhannya pada 1965 selepas pandemik itu menjejaskan perusahaan kasino, kapal persiaran dan pusat peranginannya.
Wakil Genting Malaysia bagaimanapun tidak memberikan maklum balas segera ketika diminta mengulas.
Sekatan pergerakan baharu dan penutupan sempadan Malaysia yang dikuatkuasakan untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 memaksa kumpulan itu menutup operasi tempatannya semula pada 22 Jan, mengakibatkan jumlah pelancong ke pusat peranginan itu tidak berubah walaupun selepas pemberian vaksin baru-baru ini, menurut memo itu.
Resorts World Genting dibuka semula selepas kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan yang memaksa ia ditutup selama lebih tiga minggu. Namun, Genting Malaysia menyatakan mereka tetap berhati-hati terhadap prospek jangka pendek industri hiburan dan perhotelan, menurut laporan pada 25 Feb.
“Kita perlu mengawal kos asas Resort World Genting untuk memastikan kesinambungan perniagaan kita dan membantu melindungi sebanyak mungkin pekerjaan,” kata Lee Choong Yan, presiden, ketua pegawai operasi dan pengarah eksekutif Genting Malaysia, dalam memo itu.