Polis terima laporan dakwaan ‘potong barisan’ suntikan Covid-19

Polis terima laporan dakwaan ‘potong barisan’ suntikan Covid-19

Laporan dibuat Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Mohamad Taufik Ramli di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Abdul Rahim Daud berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Polis menerima laporan berhubung perbuatan menyebar maklumat kononnya “200 ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan” dikatakan cuba memotong barisan sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Abdul Rahim Daud berkata, laporan itu dibuat Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Mohamad Taufik Ramli di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, di Pengkalan Chepa pada 9.30 pagi.

“Sehubungan itu, polis akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita, Mohamad Taufik berkata laporan itu antaranya bertujuan meminta pihak berkuasa menyiasat individu yang bertanggungjawab menyebar berita tidak benar berhubung isu tular berkenaan sehingga menjejaskan integriti kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

“Dengan laporan ini, kita menggesa tindakan diambil kepada siapa yang menyebarkan isu tidak benar ini dikenakan tindakan seperti tindakan disiplin, tatatertib kerja dan sebagainya.

“Saya rasa bertanggungjawab atas isu ini, atas kapasiti penjawat awam untuk perbetulkan semula kejadian berlaku, menolak isu yang tular sehari dua ini dan membaiki imej agensi kerajaan,” katanya.

Ahad lepas, tular di media sosial, antaranya Twitter, yang memaparkan tangkap layar mesej mendakwa suntikan vaksin Covid-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada “200 ahli SUK Kelantan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.