Tidak perlu bimbang pawagam kembali dibuka, kata pakar kesihatan

Tidak perlu bimbang pawagam kembali dibuka, kata pakar kesihatan

Dengan adanya SOP, pawagam tidak akan mendatangkan risiko yang lebih besar berbanding aktiviti lain yang dibenarkan, kata ahli epidemiologi.

PETALING JAYA:
Seorang pakar kesihatan meyakinkan pengunjung bahawa risiko penularan virus apabila pawagam dibuka semula adalah rendah sekiranya prosedur operasi standard (SOP) dapat ditetapkan dan diikuti.

Profesor perubatan kesihatan awam di Universiti Malaya Dr Sanjay Rampal berkata kepada FMT, memandangkan penularan dalam kalangan komuniti semakin berkurang, ia mungkin masa yang tepat untuk membenarkan semua perniagaan, termasuk pawagam, beroperasi.

Pengusaha pawagam berdepan pelbagai kesukaran sepanjang penularan wabak tersebut dan banyak panggung terpaksa ditutup akibat perintah kawalan pergerakan. Mereka akhirnya dibenarkan beroperasi berikutan gesaan pemain industri.

Menurut Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE), sektor ini mengalami kejatuhan 90% dalam pendapatan tahun ke tahun akibat sekatan berulang, dengan lebih daripada suku pawagam terpaksa gulung tikar.

Kata Rampal, semua pihak sudah ada masa setahun untuk belajar tentang risiko berkaitan cara untuk hidup dengan virus, sambil menambah, sekatan hanya perlu digunakan secara “berhemah” supaya ia dapat menjadi satu bentuk intervensi yang lestari.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka dan pembersihan tangan, serta serba sedikit penjarakan sosial akan menjadi faktor terpenting untuk meningkatkan tahap keselamatan di pawagam.

Ketua pegawai eksekutif badan pemikir kesihatan Pusat Galen, Azrul Khalib berkata, SOP terdahulu yang dilaksanakan sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat sudah cukup.

SOP tersebut mengehadkan kehadiran pengunjung di pawagam kepada separuh kapasiti dan mewajibkan aturan tempat duduk yang mematuhi penjarakan sosial.

Beliau turut bersetuju sekiranya pengunjung memakai pelitup muka sepanjang tayangan ketika tidak makan atau minum, dan mengikuti prosedur sanitasi, risiko yang berkaitan tidak akan menjadi lebih besar berbanding risiko daripada aktiviti lain yang dibenarkan seperti pameran dan persidangan.

“Industri pawagam dan filem tempatan adalah komponen penting dalam ekonomi. Ia menyediakan beribu-ribu peluang pekerjaan, menampung perniagaan hiliran dan menghasilkan jutaan hasil cukai,” kata beliau.

“Ramai antara mereka yang terjejas, terutamanya yang bekerja di kaunter tiket dan minuman adalah belia yang biasanya bergantung kepada gaji mereka untuk menampung pengajian di universiti atau sebagai pengenalan kepada pasaran kerja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.