
Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, Anwar perlu melihat kepelbagaian perbezaan dalam pembangkang bagi memastikan ia dapat diuruskan dengan berkesan.
“Sekiranya alasan adalah kerana pembangkang dilihat agak berpecah… jika kamu (Anwar) tidak dapat menyatukan pembangkang untuk membentuk satu Kabinet bayangan atau satu koordinasi untuk membayangi kerajaan hari ini, bagaimana masyarakat akan mempercayai kamu untuk membentuk kerajaan? soalnya.
“Cukuplah dengan pelbagai alasan. Sudah tiba masa untuk kita bergerak mencari pendekatan yang lebih profesional dalam politik dan bukan hanya berharap kerajaan yang ada hari ini jatuh dan membuat kesilapan.”
Fann bercakap dalam webinar ketika melancarkan laporan bertajuk “Rangka Kerja Kabinet Bayangan di Malaysia”.
Laporan itu meminta parti pembangkang untuk bekerjasama membentuk Kabinet bayangan di peringkat persekutuan dan negeri untuk menyemak dan bersaing dengan kerajaan hari ini dengan lebih berkesan.
Bersih berkata, walaupun menyedari ada Kabinet bayangan yang ditubuhkan sebelum ini oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan oleh PKR baru-baru ini untuk hampir setiap portfolio menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan persekutuan dan negeri harus mengiktiraf secara rasmi dan melaksanakan amalan itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi negara.
Fann juga berkata, kerajaan perlu menyediakan sumber dan akses yang secukupnya kepada Kabinet bayangan.
“Adakah ini (senario) ayam atau telur? Tidak,” katanya. “Yang pasti, pembangkang harus membentuk Kabinet bayangan terlebih dahulu.”
Bersih juga mahu Peraturan Tetap Parlimen dan DUN dipinda bagi memberi hak keistimewaan dan kelebihan kepada menteri bayangan semasa prosedur seperti soal jawab Parlimen dan perbahasan perundangan.
“Ia harus memformalkan kuasa dan kewibawaan pemimpin pembangkang atau perwakilan Kabinet bayangan untuk dirundingkan mengenai keputusan yang berkaitan penjadualan urusan Parlimen,” katanya dalam laporan itu.
“Semakan juga harus mengetengahan lebih banyak peluang antara kerusi kerajaan dan pembangkang,” katanya.