Jejambat runtuh: PSM desak kerajaan selesai isu penindasan pemandu kenderaan berat

Jejambat runtuh: PSM desak kerajaan selesai isu penindasan pemandu kenderaan berat

PSM berkata gaji, imbuhan dan perlindungan untuk pemandu kenderaan berat di Malaysia amat teruk sekali.

Ahli Jawatankuasa PSM Sharan Raj berkata pemandu kenderaan berat merupakan pengguna utama methamphetamine di Malaysia kerana terpaksa bekerja keras demi mencari nafkah buat keluarga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan menyelesaikan masalah penindasan yang dihadapi oleh pemandu kenderaan berat.

Ahli Jawatankuasa PSM Sharan Raj dalam kenyataannya berkata, Kementerian Pengangkutan perlu memastikan kadar imbuhan, perlindungan dan membenarkan penubuhan kesatuan bagi pemandu kenderaan itu.

“Gaji, imbuhan dan perlindungan untuk pemandu kenderaan berat amat teruk sekali di Malaysia kerana ketiadaan kesatuan nasional dan undang-undang menyebabkan pemandu kenderaan berat ditekan habis oleh syarikat logistik.

“Rata-rata, gaji bulanan pemandu lori dan bas agak rendah jika bekerja lapan jam sehari kerana gaji mereka dikira berdasarkan jarak perjalanan,” katanya.

Ketika dihubungi FMT, Sharan berkata kerajaan perlu campur tangan mengenai kadar pembayaran gaji para pemandu kenderaan berat dan memantau sistem yang dilaksanakan majikan agar tiada masalah penindasan dan kebajikan pekerja dilindungi.

Beliau difahamkan, pemandu kenderaan berat merupakan pengguna utama methamphetamine di Malaysia kerana terpaksa bekerja keras demi mencari nafkah buat keluarga.

Bagaimanapun, Sharan percaya terdapat pemandu yang mengambil dadah itu dengan tujuan untuk mengurangkan rasa penat kerana perlu memandu dalam jangka masa lama.

“Methamphetamine merupakan sejenis dadah untuk mengurangkan rasa penat dan keperluan untuk tidur tetapi menjejaskan kepekaan individu tersebut.

“Memandu kenderaan berat merupakan antara kerja yang memenatkan selepas kerja pembinaan dan kerja ladang,” katanya.

Semalam, negara digemparkan dengan kemalangan melibatkan sebahagian struktur jejambat dalam pembinaan di SUKE berhadapan Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, runtuh dan menghempap sebuah van kilang dinaiki lima individu.

Dalam kejadian itu, dua individu maut dan tiga lagi parah.

Pemandu treler yang menyebabkan runtuhan itu turut dikesan positif syabu, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Zulkefly Yahya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.