
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan lonjakan kes Covid-19, dengan 30 kes positif direkodkan dan 150 kontak rapat dikenal pasti membabitkan penghuni kuarters itu sehingga 3 Mac lalu.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penghuni kuarters terbabit serta mengesan beberapa lagi kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ismail berkata, PKPD di taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira di Temerloh, Pahang ditamatkan esok seperti dijadualkan.
Beliau berkata, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan di lokaliti itu.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,573 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif 94 kes positif Covid-19 telah direkodkan.”
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 246 individu ditahan kerana mengingkari SOP semalam.
Daripada jumlah itu, katanya, 234 dikompaun dan 12 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod pelanggan (94), tidak memakai pelitup muka (55), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (37), tiada penjarakan fizikal (29), aktiviti pusat hiburan (16), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (13) dan lain-lain (2).”