
Dalam edisi terbaharu Laporan Wanita, Perniagaan dan Undang-Undang 2021, Malaysia mencatatkan skor 50 dalam indeks tersebut, nilai yang secara signifikan jauh ketinggalan berbanding Singapura (82.5), Nepal (80.6), Indonesia (64.4) dan Myanmar (58.8).
Tan Mei Ling, pegawai operasi kanan Bank Dunia ke Malaysia berkata, skor rendah yang dicatatkan negara disumbang oleh beberapa faktor, termasuk aspek “mempunyai anak, memulakan pekerjaan dan mendapat gaji.”
Malaysia mencatatkan skor “0” di bawah kategori “mempunyai anak”, yang menurut Tan disebabkan jumlah cuti selepas bersalin yang dibenarkan undang-undang sangat rendah berbanding norma antarabangsa.
“Tiada peruntukan undang-undang mengenai cuti isteri bersalin bagi kakitangan lelaki (suami), tidak ada undang-undang yang menghalang wanita hamil daripada dipecat dan tiadanya sistem pencen yang mengambil kira tempoh penjagaan anak.”

Beliau memberitahu FMT bahawa ini mencerminkan kepincangan yang terdapat dalam undang-undang pekerjaan dan gender sivil memandangkan tiada peruntukan yang memberi mandat supaya tidak berlaku diskriminasi gender dalam pekerjaan.
“Bagi mencapai kesaksamaan gender sepenuhnya tidak hanya memerlukan perubahan undang-undang. Undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan berkesan dan kesungguhan politik serta kepimpinan yang tegas.
“Komitmen perlu untuk mengubah norma, budaya dan sikap,” jelas beliau.
Tan bagaimanapun optimis Malaysia mampu menangani beberapa isu yang diketengahkan dalam laporan berkenaan.
Katanya, perubahan undang-undang sedemikian masih boleh dikendalikan oleh Putrajaya.
Beberapa undang-undang buruh dan berkaitan gender boleh diberi penekanan, termasuk Akta Gangguan Seksual yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen sejak beberapa tahun yang lalu.
“Akta tersebut telah melalui pelbagai proses rundingan dengan pihak berkaitan, penglibatan antara kementerian dan semakan oleh Jabatan Peguam Negara,” kata beliau.
Beliau menggesa kerajaan supaya memansuhkan sekatan ke atas wanita yang bekerja pada waktu malam dan di bawah tanah di bawah Seksyen 34 dan 35 Akta Pekerjaan.
Tegas beliau, akta dan peruntukan lain boleh dipinda bagi melindungi pekerja dalam situasi tersebut tanpa mengira gender.
Selain itu , syarat pengambilan kakitangan yang tidak mendiskriminasi hendaklah diperuntukan secara sah dalam undang-undang buruh , dengan menekankan Perkara 8 (2) Perlembagan Persekutuan yang melarang diskriminasi gender.
“Luluskan Akta Kesaksamaan Gender dan Gangguan Seksual, perkenalkan penalti ke atas gangguan seksual dalam bidang pekerjaan. Setakat ini kita belum ada penalti sebegitu.”
Tan juga meminta agar cuti bersalin diperkenalkan bagi membolehkan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak dipikul bersama ibu dan bapa .
Selain itu, Tan turut mencadangkan agar pemecatan wanita hamil dilarang.
Berdasarkan perbincangan yang dilakukan oleh Bank Dunia, rata-rata wanita terpaksa menyembunyikan kehamilan mereka bagi mengelakkan diri daripada dibuang kerja.
“Terakhir, lanjutkan cuti bersalin sehingga sekurang-kurangnya 14 minggu selepas kelahiran. Ini seiring dengan standard antarabangsa yang mengiktiraf Konvensyen Perlindungan Cuti Bersalin Pertubuhan Buruh Antarabangsa.”