
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Setar, Nur Syifa Mohd Hamzah.
Harian Metro memetik Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali sebagai berkata, suspek berusia 34 tahun itu direman mulai hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 298, 353 dan 509 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan seorang wanita tempatan ditahan kerana dipercayai bertindak agresif, memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis di Mergong.
Terdahulu, polis menerima panggilan orang awam memaklumkan seorang wanita dipercayai kurang siuman bertindak menumbuk seseorang di sebuah syarikat di Mergong.
Susulan itu, dua anggota polis yang tiba di lokasi mendapati suspek wanita itu sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
Tetapi, suspek tiba-tiba memaki hamun anggota polis, menunjukkan jari tengah, membaling MyKadnya dan meludah ke arah seorang anggota dan beberapa rakan sekerjanya.