Veteran politik Sabah, Abdul Ghani Gilong meninggal dunia

Veteran politik Sabah, Abdul Ghani Gilong meninggal dunia

Allahyarham yang berusia 88 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.12 tengah malam kerana sakit tua.

Abdul Ghani Gilong yang dilahirkan pada 30 Mei 1932 di Kampung Matan, Ranau, pernah menjawat jawatan sebagai menteri persekutuan sehingga 1978. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Veteran politik Sabah Abdul Ghani Gilong, 88, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini, malam tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.12 tengah malam kerana sakit tua.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Taufiq Yap Yun Hin yang berkongsi berita pemergian tokoh politik itu melalui laman rasmi Facebooknya menyifatkan kehilangan Ghani sebagai kehilangan besar buat negara, khususnya bagi rakyat Sabah.

“Allahyarham merupakan salah seorang daripada empat penerima Anugerah Tokoh Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2010 berikutan jasanya yang banyak membantu penyertaan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia pada 1963,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2017, UMS telah menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah Kehormat kepada Ghani pada majlis konvokesyen ke-19.

Anaknya, Cheri Gilong Avriett dan menantunya Norman Radzuan menerusi catatan Facebook turut memohon orang ramai mendoakan agar beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Ghani dilahirkan pada 30 Mei 1932 di Kampung Matan, Ranau dan pernah menjawat jawatan sebagai menteri persekutuan sehingga 1978.

Selain itu beliau juga pernah berkhidmat dengan tiga bekas perdana menteri yang terawal dan sejak melibatkan diri dalam arena politik pada 1963, beliau pernah memegang jawatan sebagai menteri hal ehwal Sabah dan pertahanan awam.

Ghani juga pernah menjawat jawatan menteri kehakiman serta menteri kerja raya dan pengangkutan serta turut memainkan peranan sebagai salah seorang pemimpin dari Sabah dalam pembentukan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.