Kerajaan benarkan aktiviti pelancongan rentas negeri membabitkan kawasan PKPP

Kerajaan benarkan aktiviti pelancongan rentas negeri membabitkan kawasan PKPP

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu tertakluk kepada SOP ketat termasuk pergerakan hanya menggunakan kenderaan pelancong.

KUALA LUMPUR:
Kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan merentas negeri, di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP lain, di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, mulai esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata aktiviti itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

SOP ketat juga termasuk perlu menggunakan kenderaan pelancongan berdaftar.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama agensi-agensi terlibat serta atas nasihat KKM, mesyuarat bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain sahaja dengan syarat perlu menggunakan perkhidmatan syarikat agensi pelancongan berdaftar dengan Motac.

“Pergerakan hanya menggunakan kenderaan-kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan Motac. Pergerakan mengunakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Negeri yang berada di bawah PKPP ialah Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah dan Perlis, selain Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Labuan.

Sementara itu, Ismail turut memaklumkan, kebenaran aktiviti pelancongan itu tidak melibatkan negeri PKPB.

Susulan itu, katanya, agensi pelancongan perlu mendapatkan kebenaran polis untuk pergerakan merentas negeri sekiranya perjalanan perlu merentasi negeri PKPB.

Beliau berkata, kenderaan pelancongan juga dilarang menyinggah di negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintasi negeri berkenaan.

“Tempat penginapan dan aktiviti-aktiviti pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata kerajaan juga bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB ke PKPP berkuat kuasa esok.

“Ini memandangkan Pulau Langkawi telah menjadi Zon Hijau dan kes terakhir yang direkodkan adalah pada 20 Feb 2021 iaitu dua kes.

“Kebenaran gelembung pelancongan bersasar domestik ini juga terpakai untuk Pulau Langkawi. Walaubagaimanapun, negeri Kedah masih kekal PKPB,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.