
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad; dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama menyeru Menteri Luar, Hishammuddin Hussein menunjukkan rasa simpatinya dalam isu ini.
“Beliau perlu memberi penjelasan segera berkenaan situasi yang sedang berlaku. Masalah yang sedang dihadapi rakyat kita di Singapura boleh diselesaikan dengan menugaskan lebih ramai pegawai, selain menggunakan teknologi untuk menyelesaikan masalah mereka secara dalam talian,” kata mereka.
PH memandang serius situasi yang dialami rakyat di Singapura. Baginya, dugaan dihadapi rakyat dalam mencari rezeki di luar tanah air sendiri kerana negara tidak mampu menawarkan bayaran gaji lebih tinggi, sangat menyayat hati.
“Amat memalukan bagi negara sekiranya teknologi tidak digunakan dengan cekap dalam hal-hal sebegini, pada 2021. PH menegaskan ekonomi negara perlu dipacu secara dinamis, terutamanya di saat ini agar rakyat yang mencari rezeki di luar negara tertarik untuk kembali,” katanya.
Terdahulu, The Straits Times (ST) melaporkan beratus-ratus orang beratur untuk memperbaharui pasport sejak awal pagi, sehingga ada warga emas dan pengguna kerusi roda harus menunggu berjam-jam di bawah terik matahari.
Ia merupakan isu berterusan sejak pandemik Covid-19 melanda, katanya.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia menghentikan semua permohonan langsung untuk pembaharuan pasport pada 30 Mac tahun lalu kerana pandemik Covid-19. Ia hanya dibenarkan semula pada Disember lalu, tetapi sementara itu, permohonan dalam talian masih diproses dengan tarikh siap ditetapkan untuk mengambil pasport baharu.
Dalam muat naik di Facebook, ia hanya akan memproses kes mendesak melibatkan pasport atau pas jangka panjang yang akan berakhir dalam tiga bulan atau kurang, susulan langkah penjarakan fizikal.