Suami isteri maut, dua cucu cedera selepas kereta bertembung dengan lori

Suami isteri maut, dua cucu cedera selepas kereta bertembung dengan lori

Kereta yang dinaiki mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Pasangan itu dikenali sebagai Muhamad Zaidi Mohamad Dahalan, 57, dan Rosmiza Mohd Zain, 51, dari Tanah Merah, Kelantan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Sepasang suami isteri maut manakala dua cucu mereka cedera selepas kereta dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Km 68.6 Jalan Raya Timur Barat selepas Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa di Gerik petang semalam.

Pasangan itu dikenali sebagai Muhamad Zaidi Mohamad Dahalan, 57, dan isterinya Rosmiza Mohd Zain, 51, masing-masing beralamat di Tanah Merah, Kelantan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa pasangan itu serta dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia enam dan lapan tahun itu pada pukul 3.59 petang.

“Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan bagi kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebaik tiba di tempat kejadian, dua kanak-kanak yang cedera ringan didapati telah dikeluarkan oleh orang awam, pasangan suami isteri itu kemudiannya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diserah kepada pihak polis, manakala pemandu lori dilaporkan selamat.

Katanya keempat-empat mereka yang menaiki kenderaan jenis Perodua Axia dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kedah.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.40 malam dan pasangan yang meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Gerik manakala dua kanak-kanak yang cedera dibawa ke Hospital Jeli, Kelantan untuk rawatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.