
Ketua penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata, ini pertama kali dalam sejarah BN dan Umno akan berdepan pilihan raya di mana perdana menteri dari parti lain.
“Oleh yang demikian, kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Ia mungkin esok, bulan depan, tahun ini, atau pada 2023,” katanya kepada FMT.
Kenyataan itu menyusul tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Shahidan Kassim, yang mempersoalkan kenapa perbincangan mengenai kerjasama parti Melayu itu dengan parti lain dibuat sekarang kerana PRU15 masih jauh.
Isham berkata, Umno mesti bersedia menghadapi PRU15 dengan membuat persediaan awal dan bukannya selepas Parlimen dibubarkan.
Dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berjanji untuk tidak lagi mengadakan “perintah kawalan pergerakan menyeluruh” dan pilihan raya umum mungkin diadakan selepas darurat tamat 1 Ogos, katanya, negara mungkin mengadakan PRU15 dalam tahun ini.
Menurut Isham, keputusan untuk membubarkan Parlimen tidak hanya terletak di tangan Muhyiddin kerana ketika darurat, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa berbuat demikian tanpa perlu nasihat daripada perdana menteri.
“Jadi, jika Umno menarik diri daripada menyokong Muhyiddin, atau sebahagian daripada Ahli Parlimen menarik sokongan, ia sudah mencukupi untuk menunjukkan kepada Agong bahawa Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti sokongan yang melayakkannya kekal sebagai perdana menteri,” katanya.