AS mula rampas produk Top Glove di semua pelabuhan

AS mula rampas produk Top Glove di semua pelabuhan

Tindakan itu menyusul penemuan buruh paksa menerusi siasatan CBP selama beberapa bulan.

Top Glove mempunyai 60 syarikat dalam kumpulannya dan mengeksport produk ke lebih 195 negara.
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan negara itu mula merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan Top Glove Corporation Bhd.

Tindakan CBP itu menyusul kenyataan terdahulu yang ia menemui “bukti kukuh” untuk percaya pengeluar sarung tangan itu menggunakan buruh paksa dalam pembuatan sarung tangan pakai buang di Malaysia.

“Penemuan buruh paksa hari ini adalah hasil siasatan CBP selama beberapa bulan untuk mencegah barangan dihasilkan perhambaan moden memasuki perdagangan AS,” kata Troy Miller, pegawai kanan yang menjalankan tugas sebagai pesuruhjaya CBP.

“CBP tidak akan bertolak ansur dengan eksploitasi syarikat asing terhadap pekerja rentan untuk menjual barang murah dan tidak beretika kepada pengguna AS.”

Sementara itu, CBP berkata, penemuan baru-baru ini diperluaskan berdasarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkannya pada Julai 2020.

WRO itu dikeluarkan berdasarkan “maklumat munasabah tetapi tidak kukuh” terdapat pelbagai petunjuk buruh paksa dalam proses pengeluaran Top Glove.

Ini termasuk ikatan hutang, kerja lebih masa keterlaluan, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk dan penahanan dokumen pengenalan diri.

Top Glove mempunyai 60 syarikat dalam kumpulannya dan mengeksport produk ke lebih 195 negara.

Terdahulu, syarikat itu berkata, ia bekerjasama dengan CBP untuk membatalkan perintah sekatan itu ke atas anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd, susulan dakwaan buruh paksa.

Hari ini, katanya, peguamnya di AS sedang berhubung dengan wakil CBP untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa, banduan atau terikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.