
PETALING JAYA: Satu ordinan darurat telah diwartakan yang membolehkan perdana menteri atau menteri besar atau ketua menteri meluluskan belanjawan tambahan dan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melepasi dewan perundangan semasa tempoh darurat.
Sebelum ini mereka patut mendapatkan kelulusan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sebelum menyentuh wang itu.
Ordinan itu, yang dimuat naik di laman Jabatan Peguam Negara, menyatakan apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau bagi sesuatu negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau menteri besar atau ketua menteri, tanpa kelulusan dewan perundangan mulai hari ini.
Ini didapati dalam dua seksyen baharu iaitu 10A dan 10B Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang membolehkan kerajaan tidak perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan.
Ordinan itu membolehkan pihak berkuasa memintas Perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan dan Perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) berhubung mendapatkan kelulusan bagi wang oleh Dewan Rakyat.
Perenggan 4(b) dan Perenggan 2(2)(b) daripada akta sama menyatakan wang yang diterima untuk pelbagai sebab daripada dana Perbendaharaan boleh digunakan dan peruntukkan untuk bayaran, dengan kelulusan Dewan Rakyat.
Darurat berakhir pada 1 Ogos, melainkan eksekutif dapat meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa ia perlu dilanjutkan.