
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memberikan kebenaran semakan kehakiman dalam perbicaraan hari ini, selepas peguam kanan persekutuan Mohd Sabri Othman, yang mewakili menteri, berkata mereka tidak membantah cabaran undang-undang itu.
“Adakah menteri (Hamzah Zainudin) sudah membuat keputusan mengenai permohonan Pejuang? Jika sudah ada keputusan, maka semakan kehakiman ini akan bersifat akademik,” kata hakim.
Sebagai respons, Sabri berkata, menteri belum membuat keputusan berhubung permohonan Pejuang.
Mahkamah menetapkan 15 April untuk pengurusan kes berikutnya selepas peguam yang mewakili Pejuang, Rafique Rashid Ali, memberitahu mereka sudah memfailkan sijil perakuan segera supaya semakan kehakiman dipercepatkan.
“Pihak terbabit perlu hadir di hadapan saya pada 15 April bagi membolehkan arahan lanjut mengenai pemfailan penghujahan dibuat,” kata Kamal.
Pejuang memfailkan rayuan kepada Hamzah selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menolak permohonannya pada 6 Januari.
Parti itu kemudian memfailkan permohonan untuk memaksa Hamzah dan JPPM membuat keputusan mengenai permohonan tersebut.
Setiausaha agung penaja parti itu Amiruddin Hamzah berkata, “tiada tindakan dan kecuaian” menteri itu melanggar tanggungjawab berkanunnya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.
Beliau berkata, ketiadaan tindakan menteri itu adalah usaha menafikan hak perlembagaan Pejuang untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) menggunakan lambang sendiri.
Tahun lalu, Mahathir berkata, matlamat parti itu ialah untuk memerangi rasuah, selain menambah bahawa parti berteraskan orang Melayu lain tersasar daripada perjuangan asalnya dan terpengaruh dengan wang dan kuasa.
JPPM, juga menolak permohonan untuk pendaftaran MUDA, parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.