Kes naik mendadak, PKP di Tawau mulai esok

Kes naik mendadak, PKP di Tawau mulai esok

Sebanyak 137 kes aktif dilaporkan yang melibatkan beberapa kluster.

Pelaksanaan PKP di daerah Tawau, Sabah, dikuatkuasa susulan lonjakan mendadak kes baharu Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di daerah Tawau, Sabah, bermula esok hingga 16 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKP di daerah tersebut dikuatkuasa susulan lonjakan mendadak kes baharu Covid-19.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 137 kes aktif telah dilaporkan yang melibatkan beberapa kluster di daerah ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” kata beliau dalam kenyataan.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah, juga mulai esok hingga 16 April.

Kata Ismail, keputusan ini diambil setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 290 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 33 orang didapati positif Covid-19.

Sementara itu, Kampung Baji, Sarikei, Sarawak turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama selepas 20 kes positif direkodkan.

“KKM mengesahkan berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh lima hari dan sehingga 31 Mac, sebanyak 20 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini,” kata Ismail.

Beliau berkata, PKPD itu bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk dan menyekat penularan jangkitan daripada kawasan berisiko.

PKPD juga dikuatkuasakan di Sungai Rassau, Batang Igan, di Mukah, Sarawak, akibat peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti tinggi.

Daripada 43 ujian saringan yang telah dilaksanakan KKM sehingga 30 Mac, tujuh kes positif dikesan di lokaliti itu.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata,100 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), seperti gagal mengamalkan penjarakan fizikal dan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran.

Daripada jumlah itu, 91 dikompaun manakala sembilan lagi direman, tambah beliau.

Selain itu, kata beliau, 60 pendatang asing tanpa izin ditahan menerusi Operasi Benteng semalam, dengan sepuluh bot atau kapal dan lima kenderaan darat dirampas.

Berkenaan kuarantin, seramai 1,155 individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatifnya, kata beliau, 161,044 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu hingga semalam menjalani kuarantin wajib di 77 hotel dan lapan institut latihan awam serta institusi pengajian tinggi swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,924 individu telah dikuarantin dan 152,899 orang dibenarkan pulang, manakala 1,221 lagi dibawa ke hospital,” tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.